Di Antara Limau Mandarin, Sembang Terawih Dan Suhu Politik 2026

Di Wangsa Maju, limau mandarin ini menjadi juadah berbuka puasa—satu pemandangan ringkas namun penuh makna tentang ukhwah yang merentas budaya.
PENDAPAT, 28 Feb – Gong Xi Raya mungkin belum sampai secara rasminya, namun kita telah pun mula berkongsi rezeki dalam pertembungan indah antara Tahun Baru Cina dan Ramadan Al-Mubarak. Bagi kami, ini bukan sekadar kebetulan kalendar, tetapi manifestasi sebenar identiti Malaysia di peringkat akar umbi.
Baru-baru ini, saya diamanahkan oleh sahabat baik saya, YB Senator Abun Sui, untuk menyalurkan sumbangan limau mandarin ke surau dan masjid di sekitar Jalan Gombak, Setapak, dan Wangsa Maju. Di sana, limau mandarin ini menjadi juadah berbuka puasa—satu pemandangan ringkas namun penuh makna tentang ukhwah yang merentas budaya.

Keluhan di Ruang Terawih
Namun, di sebalik kemanisan buah tangan tersebut, saya harus mengakui bahawa Ramadan kali ini terasa amat berbeza. Suasananya agak suram. Bukan semata-mata kerana faktor ekonomi, tetapi suhu politik yang kian merungsingkan rakyat jelata.
Di meja berbuka mahupun di ruang santai selepas solat terawih, tiada lagi perdebatan hangat yang membezakan ideologi atau warna parti. Rakyat seolah-olah sudah letih. Yang kedengaran hanyalah keluhan dan rungutan terhadap mutu perkhidmatan ahli politik yang kadangkala jauh daripada harapan.

Kita kini berada dalam fasa persediaan awal Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Walaupun Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan rekod prestasi yang baik melalui peluasan inisiatif Payung Rahmah dan Bank Makanan Ihsan, namun ‘kelesuan reformasi’ tetap mula dirasai.
Melepasi Retorika dan Strategi
Pergolakan antara parti politik hari ini memang membimbangkan. Di saat pemimpin atasan rancak berbahas mengenai reformasi struktur seperti pengasingan kuasa Peguam Negara, rakyat di bawah lebih mementingkan isu periuk nasi.

Saya percaya rakyat kini lebih matang dan bijak menilai setiap mesej muluk yang disampaikan. Visi yang melangit tinggi tidak mungkin dicapai jika tidak berpijak di bumi nyata.
Kita harus sedar bahawa keadilan dan reformasi bukan bergantung kepada seorang pemimpin semata-mata—kuasa untuk membuat perubahan sebenarnya terletak di tangan rakyat.
Rakyat perlu menilai menggunakan firasat dan akal yang sihat. Jangan mudah terpedaya dengan berita palsu yang dianggap sebagai bahan hiburan untuk dikongsikan.

Kelangsungan gagasan Malaysia MADANI sangat bergantung kepada penyampaian maklumat yang telus, bukannya strategi retorik yang sekadar menjadi hiasan kertas kerja.
Iltizam di Peringkat Akar Umbi
Tiada pimpinan yang sempurna. Yang ada hanyalah usaha terbaik untuk mengekalkan perpaduan daripada menjadi rapuh. Menguruskan manusia itu sukar, justeru tindakan nyata di lapangan adalah jauh lebih berkesan daripada seribu strategi yang hanya gah di atas kertas.

Pemimpin, tidak kiralah wakil rakyat atau ketua komuniti adalah mereka yang mempunyai iltizam tinggi dan mampu menyelami nadi rakyat setiap hari.
Tanpa akar umbi yang kuat, tiadalah asas yang teguh untuk kita membentuk jati diri negara yang berdaulat seperti mana kotak limau yang bersatu padu dalam susunan tersendiri.
Pada akhirnya, negara yang kuat bukan diukur pada kerusi kuasa di Putrajaya, tetapi pada sejauh mana kepimpinan itu berpaksikan suara, hati, dan kebajikan rakyatnya sendiri.
- Oleh Lai Chen Heng
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
