’Datuk Seri’ Diburu Bantu Siasatan Kes Pemerdagangan Manusia

Antara keluarga kepada mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket di Kemboja, Laos dan Myanmar memegang plakad sebagai tanda merayu dan memohon campur tangan kerajaan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada Oktober 2022.

KUALA LUMPUR, 1 Sep – Polis Malaysia sedang memburu seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ untuk membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar, yang didakwa turut melibatkan seorang ahli politik dan suaminya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa setakat ini, tiga individu telah diambil kenyataan, termasuk ahli politik yang terlibat dan pasangannya.

“Kami sedang mengesan seorang lagi individu untuk disoal siasat dan juga akan memanggil tiga penulis artikel yang berkaitan dengan kes ini,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Menurut laporan pada 28 Ogos, seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri didakwa menjadi dalang kepada sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa yang beroperasi di Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, dilaporkan bahawa wanita tersebut bersama suaminya memegang jawatan penting sebagai pegawai kanan keselamatan dalam sebuah syarikat dan dipercayai terlibat sejak awal tahun 2020.

Sebelum ini, sebuah video yang mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar telah tular di media sosial di Indonesia.

Video tersebut menunjukkan ramai warga Indonesia menjadi mangsa sindiket itu, yang terlibat secara terbuka dalam aktiviti pemerdagangan manusia termasuk kerja paksa, penyeksaan, penyeludupan organ, dan juga pembunuhan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *