Dasar Tarif AS Dorong Ringgit Kukuh Pada RM3.88

Pada jam 6 petang 26 Februari 2026, ringgit meningkat kepada 3.8865/8925 berbanding dolar AS daripada paras penutup 25 Februari 2026 pada 3.8900/8955.
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan ketidaktentuan berhubung dasar tarif AS serta rundingan antara AS dan Iran.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.8865/8925 berbanding dolar AS daripada paras penutup semalam pada 3.8900/8955.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dilaporkan berkata kadar tarif AS bagi sesetengah negara akan meningkat kepada 15 peratus atau lebih tinggi daripada 10 peratus sebelum ini. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan mana-mana rakan dagang secara khusus.

Sementara itu, pegawai AS dan Iran berada di Geneva, Switzerland hari ini bagi pusingan ketiga rundingan nuklear secara tidak langsung.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata risiko peristiwa berkaitan rundingan nuklear AS–Iran merupakan faktor yang akan diberi perhatian rapat oleh peserta pasaran.
“Pedagang dilihat masih tidak membuat keputusan yang jelas ketika ini dan ringgit kelihatan sedang membentuk paras asas sekitar RM3.88 hingga RM3.89 (berbanding dolar AS), yang menghampiri paras sokongan terdekatnya pada RM3.8722,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dunia.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.5853/5924 daripada 4.5855/5920 pada penutup Rabu dan naik sedikit berbanding pound Britain kepada 5.2573/2654 daripada 5.2585/2659 semalam.
Bagaimanapun, ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.4902/4942 daripada 2.4848/4885 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu kebanyakannya diniagakan lebih rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0755/0805 daripada 3.0736/0782 pada penutup semalam, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 231.9/232.3 daripada 231.5/231.9 pada Rabu, dan melemah berbanding baht Thailand kepada 12.5169/5435 daripada 12.5121/5374 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.76 daripada 6.76/6.78 semalam. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


