Dakwaan Dua ADUN Sertai PBM Hanya Provokasi – Aminuddin

SEREMBAN, 4 Okt – Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun menyifatkan Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida Kamaruddin membuat kenyataan provokosi apabila mendakwa terdapat dua ADUN di Negeri Sembilan dalam proses untuk menyertai parti itu.
Beliau bagaimanapun memberitahu tidak tahu siapa ADUN yang dimaksudkan oleh pemimpin parti tersebut.
“Bagi saya itu provokosi. Dari dulu lagi ada provokasi begini dan kita dengar sajalah.
“Tapi saya tidak tahu siapa orangnya. Kita sedang cari tapi tak jumpa-jumpa,” katanya secara berseloroh ketika ditanya pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Ramah Mesra Usahawan Kotej Halal Negeri Sembilan, di sini pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan Zuraida pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PBM 2022 mengumumkan Ahli Parlimen Segamat, Santhara Kumar dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar menyertai parti itu.
“Penyertaan mereka menjadikan setakat ini ada enam ahli Parlimen dari PBM.
“Selain itu, dua lagi ADUN di Negeri Sembilan juga sedang dalam proses untuk menyertai PBM kelak,” katanya.
Namun dakwaan tersebut tidak pernah dibuktikan setakat ini dan ia tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri yang memiliki 20 kerusi DUN manakala pembangkang, 16.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
