Daftar Segera SKDS 2.0 Di Pulau Pinang Esok Dan Ahad – Fuziah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh. Foto RTM
ALOR SETAR, 28 Jun – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata beliau mengalu-alukan penduduk Pulau Pinang untuk hadir pada Hari Terbuka MySubsidi Diesel SKDS 2.0 yang akan diadakan selama dua hari bermula esok di Sungai Bakap.
Tambahnya pihak KPDN Pulau Pinang telah menyediakan kemudahan untuk warga negeri ini yang akan diadakan di Dewan MPKK Tasek, Nibong Tebal bermula jam 9 pagi hingga 3 petang (lokasi: https://maps.app.goo.gl/jtBi4sgtNaxYzz3r8?g_st=aw).
“Para pemilik kenderaan diminta membawa bersama Geran Kenderaan, Sijil SSM dan salinan permit kenderaan bagi membolehkan permohonan mereka diproses dan diluluskan dalam masa singkat,” katanya.
Terdahulu beliau meminta para pemilik kira-kira 175,000 kenderaan barangan yang belum mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 diminta berbuat demikian dengan kadar segera.
Beliau menambah sekiranya pendaftaran dilakukan selepas 30 Jun ini, mereka tidak layak membuat tuntutan pembelian diesel bagi tempoh 10 Jun lalu hingga akhir bulan ini.
“Ketika ini hanya 234,000 kenderaan telah mendaftar berbanding 410,000 kenderaan yang layak berbuat demikian. Jadi maksudnya lebih kurang 175,000 kenderaan masih belum berdaftar untuk mendapatkan Fleet Card Diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0 dan Karnival Kepenggunaan Negeri Kedah, di sini.
Tambah Fuziah, pendaftaran SKDS 2.0 masih diteruskan selepas 30 Jun ini dan bagi membantu pemilik kenderaan yang layak mendaftarkan kenderaan masing-masing, kementeriannya telah menganjurkan program Hari Terbuka SKDS 2.0 agar mereka tidak terlepas daripada mendapat manfaat itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


