Chelsea Kecewakan Impian Spurs Ke Liga Juara-Juara

Penyerang Chelsea, Nicolas Jackson (tengah) menanduk masuk gol kedua menentang Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London awal pagi tadi. Foto Reuters

LONDON, 3 Mei – Chelsea menjejaskan harapan Tottenham untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-0 ke atas seteru tetangga London awal pagi tadi.

Gol pertama Trevoh Chalobah sejak Mac 2022 meletakkan Chelsea di depan pada babak pertama di Stamford Bridge.

Nicolas Jackson yang lebih kerap dikutuk melengkapkan kemenangan itu pada babak kedua dengan gol ke-14 buatnya dalam musim sulung sukar bersama The Blues.

Selepas kekalahan di tangan Arsenal dan Newcastle, kekalahan ketiga berturut-turut pasukan tangga kelima Tottenham menyaksikan mereka ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa.

Penyerang Chelsea, Nicolas Jackson (tengah) menanduk masuk gol kedua menentang Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London awal pagi tadi. Foto Reuters

Tottenham masih berbaki empat perlawanan, manakala Villa tiga, menyebabkan pasukan utara London itu kelihatan sukar untuk berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Ia satu lagi tamparan hebat buat Tottenham, yang gagal meneruskan rentak baik dicetus Ange Postecoglou bagi musim pertama kendalian pengurus dari Australia itu.

Ketika Postecoglou berduka, bos Chelsea, Mauricio Pochettino menikmati kemenangan kedua ke atas bekas kelabnya musim ini susulan kemenangan 4-1 pada November lalu.

Pochettino mengecewakan peminat Chelsea apabila mengakui beliau tidak dapat “menyembunyikan emosinya” buat kelab yang diuruskannya selama lima tahun dan mengemudi ke final Liga Juara-Juara 2019.

Namun beliau melupakan perasaan itu seketika bagi mencetus keputusan yang dimahukan, menghidupkan peluang pasukan tangga kelapan Chelsea layak ke Eropah dan mengekalkan hanya satu kekalahan dalam 34 perlawanan liga di laman sendiri menentang Tottenham.

“Babak pertama amat hebat. Kemudian anda perlu menyerap asakan mereka dan menderita. Tottenham mempunyai pemain berkualiti. Pujian kepada pemain. Mereka benar-benar tunjukkan cara kami mahu membentuk pasukan ini,” kata Pochettino.

Postecoglou mengkritik persembahan hambar Tottenham ketika tumpas 3-2 berdepan Arsenal Ahad lalu dan bertindak dengan melakukan lima pertukaran apabila Richarlison dibawa masuk manakala James Maddison digugurkan.

Empat daripada lima gol yang dilepaskan Tottenham dalam perlawanan terdahulu berpunca daripada sepakan percuma atau tendangan sudut dan mereka dihukum lagi kerana gagal mengawal ketat situasi bola mati pada minit ke-24.

Sepakan percuma Conor Gallagher dilambungkan ke kawasan penalti dan Chalobah tidak dikawal untuk menanduk kencang melepasi Vicario dari jarak 10 meter.

Chelsea menghukum lawan mereka sekali lagi pada minit ke-72.

Sepakan percuma Cole Palmer terkena palang dan menuju ke arah Jackson yang pantas menanduk masuk dari jarak lima meter. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *