Cemburu Dengan MADANI Mart Sampai Buat Fitnah?

Tohmahan terhadap pengenalan MADANI Mart yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 April 2026 lalu membuktikan pembangkang pandai membangkang tetapi tiada cadangan menambah baik menangani kos sara hidup rakyat.

PENDAPAT, 7 Apr – Seperti biasa, bila ada sahaja perkara baik yang membantu rakyat tetapi pembangkang memperlekehkan dengan macam-macam tuduhan tanpa mencari fakta dan matlamat sebenar, jelaslah mereka memang tidak berfungsi secara total.

Tidak terkecuali perkara tersebut terkena kepada inisiatif MADANI Mart yang dituduh mempunyai ‘agenda tersembunyi’ oleh segelintir pihak termasuk pembangkang sebenarnya memperlihatkan kegagalan mereka memahami konsep serta matlamat sebenar Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.

Program ini diwujudkan sebagai satu inisiatif strategik bagi menyediakan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tanpa sesen pun dana kerajaan (baca: wang rakyat) digunakan sama ada sewaan kedai atau barangan yang dijual.

Malah ia jauh berbeza dengan pendekatan kerajaan sebelum ini yang memperkenalkan konsep hampir serupa tetapi menggunakan wang rakyat yang akhirnya ‘hangus’ entah ke mana.

Ejekan dan sindiran termasuk daripada beberapa pemimpin parti politik dalam Kerajaan Perpaduan juga sudah dijangka kononnya meniru konsep Kedai Rakyat 1Malaysia sedang hakikatnya, pelaksanaan jauh lebih baik tanpa mengorbankan wang pembayar cukai seperti sebelum ini.

Hakikatnya, MADANI Mart bukan bertujuan menyaingi perniagaan tempatan atau memonopoli pasaran seperti yang didakwa sesetengah pihak. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai pelengkap kepada ekosistem peruncitan sedia ada dengan menekankan konsep harga rahmah dan akses yang lebih meluas kepada barangan asas.

Majoriti pengguna tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas seperti minyak masak yang dijual lebih rendah dari harga pasaran di MADANI Mart hingga membeli dua botol sekali gus bagi kegunaan keluarga. Foto Fuziah Salleh

Tuduhan bahawa program ini akan menjejaskan peniaga kecil adalah tidak berasas kerana kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi menyokong usahawan tempatan.

Kritikan melampau yang dilemparkan juga dilihat bersifat politik semata-mata tanpa mengambil kira realiti dihadapi rakyat. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, termasuk kesan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan harga barangan, usaha kerajaan memperkenalkan mekanisme seperti MADANI Mart adalah wajar dan tepat pada masanya.

Lebih penting, program ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang proaktif dan berorientasikan rakyat. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah, malah meningkatkan daya tahan ekonomi masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa.

Tuduhan MADANI Mart hanyalah ‘ciplak’ Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan ada menyifatkan kerajaan ‘sibuk berniaga’ dan mewujudkan konflik kepentingan tidak berasas.

Tidakkah kita merasa gembira melihat kaum ibu membeli dua botol minyak masak sekali gus untuk keluarga dek kerana harganya benar-benar murah malah telah banyak permintaan untuk membuka MADANI Mart di seluruh negara dalam masa singkat?

Kita tidak mampu menutup mulut pihak berkenaan dengan tuduhan negatif terhadap MADANI Mart yang sebenarnya tidak menggambarkan realiti sebenar pelaksanaan program tersebut.

Sebaliknya, ia menyerlahkan kepentingan untuk menilai sesuatu dasar secara objektif dan berasaskan fakta. Dalam konteks ini, MADANI Mart wajar dilihat sebagai salah satu ikhtiar penting kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan kos sara hidup dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *