Caj Letak Kereta RM183: Gangguan Sistem Disyaki Punca

Tular perkongsian seorang wanita yang mendakwa dikenakan caj parkir berkenaan melalui transaksi menggunakan kad ATM miliknya di kawasan parkir Pasar Borong Melaka.
MELAKA, 16 Mac – Caj parkir sebanyak RM183.38 yang dikenakan terhadap seorang pengguna di Pasar Borong Melaka disyaki berpunca daripada ketidakselarasan data dalam sistem parkir digunakan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu kemungkinan berlaku apabila kad yang berbeza digunakan semasa kenderaan memasuki dan keluar dari kawasan parkir.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan rekod transaksi dalam sistem tidak lengkap, sekali gus mengakibatkan caj parkir terkumpul secara automatik sehingga memaparkan jumlah bayaran yang tinggi.
“Perkara ini sedang disiasat bersama pihak operator sistem parkir yang dilantik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Semakan teknikal awal menunjukkan kemungkinan wujud ketidakselarasan data dalam sistem parkir sehingga menyebabkan caj yang dipaparkan menjadi tidak munasabah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata pihaknya telah menghubungi pengadu bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian tersebut selain melakukan semakan data sistem serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bersama operator parkir.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

