Cadangan Kaji Tarik Subsidi Petrol Bagi T20 Sedang Dikaji – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur pada 10 Mei 2026. Foto JPA

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Cadangan untuk memotong subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi bagi membantu negara mengharungi keadaan ekonomi semasa, sedang diteliti kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut sudah diteliti oleh Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK), Tan Sri Mohd Hassan Marican di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sejak sebulan lalu.

Jelas Anwar, kerajaan melakukan penilaian teliti pendekatan sesuai mengenai cadangan pemotongan subsidi bagi kumpulan berpendapatan tinggi bagi memastikan ia boleh dilaksanakan secara berkesan dan tidak menjejaskan kumpulan itu.

“Cuma tidak pasti sama ada T20 atau T15, supaya tidak membebankan kelas menengah atas dan kemudian mudah pelaksanaannya,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Ia susulan laporan bahawa Pemuda Umno akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan T20 ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebagai antara resolusi utama hasil Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0).

Ketua Pemuda Umno, Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat ketika ini.

Menurutnya, subsidi yang dinikmati golongan berpendapatan tinggi tidak memberi kesan besar kepada mereka berbanding manfaat yang boleh dirasai kumpulan berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan tersebut akan dimuktamadkan tidak lama lagi selepas penelitian tersebut.

“Kita tidak mahu ia memberi kesan kepada kumpulan menengah atas jadi harap ia dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Anwar enggan mengulas mengenai pelan berkaitan kesinambungan bekalan minyak negara yang bakal diumumkan oleh beliau pada pertengahan bulan ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *