Bursa Malaysia Ditutup Lepasi Paras 1,715, Tertinggi Sejak Februari 2019

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 15 Januari 2026 meningkat 4.25 mata, atau 0.25 peratus, kepada 1,715.16 daripada paras penutup 1,710.91 pada 14 Januari 2026.
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Aktiviti membeli saham berharga rendah di kaunter perkhidmatan kewangan berwajaran tinggi telah menyokong indeks utama Bursa Malaysia pulih daripada penurunan sebelumnya dan melonjak ke ke paras tertinggi intra harinya, hari ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.25 mata, atau 0.25 peratus, kepada 1,715.16 daripada paras penutup 1,710.91 pada Rabu.
Indeks itu melepasi paras tertingginya sebelum ini iaitu pada 1,713.45 yang dicatatkan pada 27 Februari 2019.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.56 mata kepada 1,710.35 dan susut ke paras terendah intra harinya pada 1,701.83 semasa awal dagangan, sebelum meningkat semula menjelang sesi penutup dagangan.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 583 berbanding 503, manakala 562 kaunter tidak berubah, 990 tidak diniagakan dan 21 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.25 bilion unit bernilai RM3.32 bilion daripada 3.11 bilion unit bernilai RM3.19 bilion pada Rabu.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI meneruskan aliran meningkatnya bagi sesi kelima berturut-turut apabila para pelabur terus melabur dana meskipun peningkatan ketegangan geopolitik.
“Minat belian yang berterusan mencerminkan keyakinan terhadap pendapatan dan makroekonomi Malaysia, diperkukuh oleh aliran masuk bersih pelabur asing selama empat hari berturut-turut dari 9 hingga 14 Januari.
“Corak ini menunjukkan bahawa Malaysia semakin dianggap sebagai pasaran bagi pelaburan teras portfolio pelabur dan bukannya pelaburan jangka pendek,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM11.10, Public Bank menambah lapan sen kepada RM4.75, CIMB dan Tenaga Nasional naik 10 sen masing-masing kepada RM8.45 dan RM13.92, manakala IHH turun dua sen kepada RM8.43.
Dalam kalangan kaunter paling aktif, V.S. Industry dan Zetrix AI turun setengah sen masing-masing kepada 48 sen dan 82.5 sen, Capital A susut 1.5 sen kepada 53 sen, Northeast Group berkurangan 11.5 sen kepada 59.5 sen, manakala Tanco naik satu sen kepada RM1.24.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 90 sen kepada RM33.70, Hong Leong Bank naik 52 sen kepada RM24.0, Westports melonjak 48 sen kepada RM6.12, Hong Leong Financial mengukuh 40 sen kepada RM20.82, dan Mi Technovation menambah 19 sen kepada RM3.39.
– Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


