Bursa Malaysia Berpotensi Lepasi Paras 1,700 Mata Dalam Masa Terdekat

Indeks FBM KLCI mencatatkan peningkatan kukuh dengan mencecah paras 1,675.24 pada penutup sesi dagangan pada Rabu. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – FBM KLCI berpotensi untuk melepasi paras 1,700 mata dalam jangka masa terdekat berdasarkan momentum semasa, demikian menurut penganalisis terhadap indeks penanda aras Bursa Malaysia itu.
Namun, kenaikan tinggi indeks penanda aras itu dalam masa singkat baru-baru ini dijangka mendorong kepada proses pembetulan.
Pengarah Urusan Capital Dynamics Sdn Bhd, Tan Teng Boo melihat terdapat kemungkinan untuk indeks penanda aras Bursa Malaysia itu mencecah paras 1,715 mata dalam waktu yang terdekat ini.
Beliau berkata, prestasi itu dijangka disokong oleh kenaikan saham perbankan, sementara pasaran yang lebih meluas mencatatkan pengambilan untung.
Jelasnya, FBM KLCI dilihat terlebih belian dan adalah dijangka akan berlaku pembetulan.
“Kami jangka beberapa pembetulan memandangkan FBM KLCI telah meningkat banyak dalam masa yang singkat,” katanya kepada BH .
Indeks FBM KLCI mencatatkan peningkatan kukuh dengan mencecah paras 1,675.24 pada penutup sesi dagangan semalam, paras tertinggi dalam tempoh empat tahun dengan paras penutup tertinggi terakhir yang paling hampir dilihat ialah sekitar 1,681.41 pada 16 Disember 2020.

Tinjauan ekonomi negara yang memberangsangkan, pengukuhan berterusan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan pengurangan kadar faedah AS menyokong prestasi kukuh dalam pasaran saham tempatan.
Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) dalam nota penyelidikannya berkata, peningkatan semula berterusan FBM KLCI bersedia untuk menuju ke paras 1,690 hingga 1,700 berikutan dua kali melepasi paras rintangan utama pada paras 1,638 17 Julai lalu dan 1,660 pada 20 Ogos lalu.
Ia berkata, peningkatan kukuh indeks penanda aras itu berikutan prospek ekonomi yang menggalakkan dan minat belian yang berterusan ke atas saham perbankan, pengukuhan ringgit, peralihan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan selera risiko oleh pelabur asing.
Rakuten Trade pula berkata, walaupun prestasi yang memberangsangkan oleh saham mewah pada sesi dagangan Rabu, pihaknya mendapati sentimen terhadap saham pertengahan dan kecil kekal tidak memberangsangkan memandangkan kebanyakannya berakhir lebih rendah.
Ia berkata, walaupun jumlah dagangan harian bertambah baik, ia tidak mencukupi untuk menyokong pasaran yang lebih luas.
“Walaupun lonjakan 40 mata dalam indeks penanda aras sejak Jumaat lalu, kami terus kekal positif dan percaya bahawa kecairan akhirnya akan turun ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


