Budi95 Dorong Ringgit Naik Berbanding Dolar AS

Penganalisis menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai positif kepada kredit yang seharusnya diterjemahkan kepada sentimen positif terhadap ringgit dalam jangka sederhana hingga panjang. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Sep – Sentimen pasaran yang positif berikutan langkah rasionalisasi subsidi RON95 yang dilaksanakan secara berhemah oleh Kerajaan MADANI mendorong ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Isnin.

Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.1945/2040 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2115 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah rasionalisasi itu memberi isyarat tentang komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal sambil kekal prihatin mengenai kesannya kepada rakyat.

“Pendekatan berhemah ini menunjukkan kerajaan bersikap pragmatik dalam usaha memperbaiki kedudukan kewangannya. Ia boleh dianggap sebagai positif kepada kredit yang seharusnya diterjemahkan kepada sentimen positif terhadap ringgit dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8364/8430 daripada 2.8419/8471 ketika ditutup pada Jumaat, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6630/6758 daripada 5.6775/6876 dan menokok berbanding euro kepada 4.9390/9502 daripada 4.9447/9536 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2688/2764 daripada 3.2744/2805, melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.1890/2243 daripada 13.1973/2271, tinggi sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 252.5/253.1 daripada 253.2/253.8.

Ringgit juga mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.37 daripada 7.36/7.38 sebelumnya.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyasaran subsidi RON95 kepada rakyat Malaysia pada kadar RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan warganegara asing perlu membayar kadar tanpa subsidi RM2.60 seliter.

Penyasaran subsidi berkenaan mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun yang boleh digunakan untuk tujuan pembangunan dan penyaluran bantuan bersasar kepada rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *