BUDI95 Awal Kepada Polis, Tentera Tanda Pengiktirafan Kerajaan MADANI – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berucap pada Program Sambutan 27 Tahun Reformasi di Ibu Pejabat KEADILAN Melaka pada 27 September 2025. Foto Bernama
MELAKA, 27 Sep – Kira-kira 300,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada anggota polis dan tentera yang menjadi kumpulan terawal menikmati inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99 seliter hari ini merupakan tanda pengiktirafan kerajaan terhadap peranan mereka menjaga keselamatan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, menjelaskan, langkah tersebut bukan sahaja menunaikan janji kerajaan untuk menurunkan harga minyak, malah membuktikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dalam kerangka dasar MADANI dan anggota keselamatan diberi penghargaan awal daripada kerajaan.
“Negara ini aman dan selamat kerana adanya pengorbanan pasukan keselamatan. Bila aman, pelabur dan pelancong datang. Sebab itu kerajaan mulakan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 dengan polis dan tentera,” kata beliau berucap pada Sambutan 27 Reformasi, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung KEADILAN, Fuziah Salleh.
Bermula tengah malam tadi, lebih 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter, selaras pengumuman Perdana Menteri pada 22 September lalu.
Dalam pada itu, Anwar berkata dasar ekonomi negara perlu diseimbangkan dengan kebajikan rakyat dan tidak hanya bergantung pada teori ekonomi semata-mata.

Beliau berkata pelbagai langkah kebajikan telah dilaksanakan, termasuk penyaluran puluhan bilion ringgit melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta kenaikan gaji penjawat awam secara berperingkat bagi memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.
“Perjuangan kita bukan retorik. Reformasi mesti dizahirkan dengan tindakan nyata membantu rakyat miskin, meningkatkan taraf hidup dan memastikan kekayaan negara diagih secara adil,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menegaskan kejayaan negara tidak hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga pada kemampuan membina masyarakat yang bersatu padu, berakhlak dan berintegriti.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
