Broker Senjata Dikaitkan Dengan Junta Myanmar Dibebaskan

Tun Min Latt. Foto Arkib

BANGKOK, 31 JanSeorang hartawan yang juga broker senjata Myanmar dikaitkan dengan pemimpin rejim tentera Myanmar dibebaskan 30 Januari lalu oleh Mahkamah Bangkok atas tuduhan mengedar dadah dan pengubahan wang haram.

Pembebasan Tun Min Latt menimbulkan kebimbangan dia akan bebas untuk meneruskan aktivitinya membantu junta tentera Myanmar.

Dia diletakkan di bawah sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2023 kerana membekalkan senjata kepada rejim Myanmar dan menghabiskan 16 bulan di penjara Thailand sementara menunggu perbicaraan.

Kes itu adalah yang pertama diketahui membabitkan sekutu rapat komander tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, yang ditangkap di luar negara dan dibicarakan sejak tentera merampas kuasa tiga tahun lalu.

Pihak berkuasa Thailand menuduh Min Latt dan tiga rakan sekutunya terbabit dalam skim bagi pengubahan wang dadah, dengan menggunakannya untuk membeli elektrik di Thailand dan menghantarnya merentasi sempadan ke Myanmar.

Tun Min Latt. Foto Arkib

Bagaimanapun, mahkamah jenayah Thailand mendapati rekod transaksi bank yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk membuktikan pertuduhan.

Dengan keputusan itu, lebih 20 saudara mara dan penyokong tertuduh bertepuk tangan di dalam bilik mahkamah, malah ada yang menitiskan air mata tanda kegembiraan.

Timbalan Pengarah Human Rights Watch di Asia, Phil Robertson, bagaimanapun menyatakan kekecewaannya.

“Sukar untuk mempercayai bahawa hartawan Myanmar yang dirujuk ramai sebagai ejen ketua junta Aung Hlaing dibebaskan.

“Satu-satunya orang yang gembira dengan keputusan ini ialah jeneral junta yang semakin terdesak untuk mencari sumber dan jelas sekali, Min Latt terbukti sangat membantu dalam hal itu pada masa lalu,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, tentangan bersenjata membabitkan pasukan pro demokrasi dan kumpulan pemberontak etnik dilaporkan semakin mendapat sokongan awam dalam menentang tentera.

Malah, mereka sudah berjaya merampas ratusan pos tentera dan puluhan bandar di wilayah sempadan Myanmar.

1 Februari akan menandakan ulang tahun ketiga rampasan kuasa yang diketuai Aung Hlaing, menumbangkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi.

Di bawah perintahnya, junta melakukan tindakan keras lagi kejam, membunuh lebih 4,400 orang awam dan menangkap 20,000 tahanan politik, termasuk Suu Kyi.

AS berkata, Min Latt membekalkan dron dan alat ganti pesawat kepada rejim di Myanmar. Pada 2019, dia bergambar bersama Aung Hlaing ketika mereka melawat pameran senjata di Bangkok.

Ketika penahanannya pada September 2022, polis Thailand menemui dua buku bank atas nama anak perempuan jeneral berkenaan dan dokumen kontrak sebuah pangsapuri mewah Bangkok atas nama anak lelakinya. – AGENSI

Polis juga merampas aset hampir AS$9 juta termasuk kereta mewah, jam tangan, beg bimbit dan wang tunai.

Min Latt juga dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Senator Thailand, Upakit Pachariyangkun, yang didakwa Disember lalu atas pertuduhan sama tetapi kekal bebas sementara menunggu perbicaraan.

Mereka berdua adalah rakan kongsi dalam Myanmar Allure Group, firma yang memiliki syarikat penjana tenaga dan kasino di sempadan Myanmar-Thailand tetapi Upakit memindahkan sahamnya kepada seorang saudara pada 2019 selepas dilantik menganggotai Senat. – AGENSI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *