BN Dan PN Sudah Hilang Arah, PH Pilihan Terbaik Rakyat

PENDAPAT, 8 Okt – Keghairahan dan kehangatan politik yang semakin memuncak terasa mutakhir ini menunjukkan PRU ke 15 semakin hampir.
Pandangan setiap ahli politik terutamanya pemimpin tertinggi parti menjadi topik bualan hangat perbincangan di kedai-kedai kopi.
Setiap pandangan ahli politik ini menjadi isu utama dalam kalangan rakyat. Semakin hangat politik, semakin membuak-buak rakyat membuat keputusan.
Soal yang dilihat lebih besar ialah sama ada pandangan ahli politik itu bersifat politiking semata-mata dan rakyat hanya membaca tentang politik untuk bacaan “hangat” politik harian sahaja.
Kelemahan ini memungkinkan rakyat hanya mengambil sekerat dua pandangan ahli politik yang menyerang ahli politik lain. Kemudian, membuat keputusan untuk mengundi atas sebab bacaan hangat tersebut. Tanpa melihat kepada politik dasar dan polisi parti-parti tertentu.

Ini sebenarnya kekurangan yang berlaku di negara kita tentang budaya politik yang sudah lama bertakung. Budaya politik menyerang seseorang individu termasuklah menyerang peribadi menjadi tarikan utama bagi pembaca politik “hangat”.
Jika pekara ini terus berlaku, natijahnya, semakin ramai seperti Datuk Seri Azmin Ali yang berucap di Majlis Pelancaran Parti Bersatu baru-baru ini yang hanya menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding menerangkan tentang dasar-dasar yang baik dibuat oleh kerajaan yang disokong olehnya.
Diketahui umum, beliau mewakili Perikatan Nasional (PN) yang mengkhianati mandat rakyat hanya selepas 22 bulan sememangnya gagal memimpin kementeriannya sendiri dengan tiada apa-apa pencapaian signifikan yang boleh dibanggakan.
Kegagalan tersebut bukan sekadar diukur dengan kehilangan pelabur asing yang lari ke Vietnam, Filipina dan Indonesia, malah lebih memburukkan keadaan ialah, pelabur asing sedia ada mula memindahkan operasi atau ibu pejabat mereka keluar dari negara ini.

Sebaiknya, sebagai kerajaan sepatutnya beliau perlu mengurangkan politiking dan sepatunya berdebat tentang dasar dan polisi yang baik untu memulihkan ekonomi negara.
Begitu juga dengan UMNO, acap kali berfikiran bahawa hanya PRU sahaja yang boleh memulihkan negara.
Sebagai parti dalam kerajaan dan Naib Presiden UMNO, Perdana Menteri seharusnya menerangkan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan hari ini untuk memulihkan negara dan meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.
Sebaliknya, mereka mengadakan perhimpunan menyerang sistem kehakiman akibat pemenjaraan Datuk Seri Najib berkenaan dengan kes rasuah SRC international.

Jika pekara ini terus berlaku makanya kelemahan kerajaan hari ini semakin terserlah.
Mereka tidak mampu untuk membawa politik baru, politik yang berlandaskan kepadadasar dan polisi yang baik untuk negara.
Jalan keluar yang paling baik buat rakyat kini hanya ada pada Pakatan Harapan (PH). Suka ataupun tidak, BN dan PN terbukti gagal mengurus negara dan biarlah rakyat memilih PH sebagai penyelamat mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dengan kelebihan Anwar mempengaruhi komuniti pelabur dan pemimpin asing ditambah lagi dengam kembalinya Rafizi Ramli sebagai teraju perubahan, PH mampu melakukannya demi rakyat untuk kemakmuran negara dalam jangka masa panjang.
– Jame Stephen ialah aktivis politik di Bintulu yang banyak mengkaji sosiopolitik Sarawak dan nasional. Tulisannya tidak menggambrkan pendirian rasmi Media Rania
