Bina Blok MADANI Sebagai Syarat Percepat Kelulusan Perumahan Baharu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyerahkan replika kunci kepada penerima pada peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI), di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menyediakan blok rumah MADANI bagi setiap projek pembangunan kawasan perumahan baharu khusus buat golongan B40 dan M40 sebagai syarat bagi mempercepatkan kelulusan permohonan.
Perdana Menteri berkata kerajaan boleh mempercepatkan proses kelulusan pembangunan perumahan itu, namun ia perlu dibangunkan sekali dengan sekurang-kurangnya satu atau dua blok rumah MADANI.

Arahan itu susulan permintaan untuk membeli kediaman di sekitar ibu kota adalah sangat tinggi sehingga mencecah puluhan ribu permohonan.
“Setiap perumahan baharu, saya arahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan dewan bandaraya (DBKL) jika ada tanah, kita beri kelulusan dan boleh bagi kelonggaran dan percepatkannya.

“Tetapi syaratnya mesti ada satu atau dua blok rumah MADANI untuk rakyat memanfaatkannya,” katanya berucap pada pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI), di Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan pengurusan tertinggi LPAM.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
