Bila Dah Mengaku Buat Salah

Keratan berita sebuah akhbar berbahasa Inggeris menjelaskan maksud ‘plundering idiot’ atau ‘penyamun tongong’ (dalam Bahasa Melayu, tongong bermaksud bodoh atau bangang).
PENDAPAT, 9 Jan – Sekiranya pelaku rasuah atau mana-mana individu mengaku melakukan kesilapan dan telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, maka beliau haruslah menerima akibat daripada perbuatannya dengan sepenuh hati.
Orang kata kena redha dengan kekhilafan yang telah dilakukan, bukannya menyalahkan mana-mana pihak termasuk yang melarikan diri ke luar negara hingga Polis Antarabangsa (Interpol) gigih mencari namun masih tak jumpa.
Tanggungjawab individu dalam hal ini adalah untuk menanggung hukuman yang telah ditetapkan oleh sistem perundangan yang telah melalui proses perbicaraan berlandaskan undang-undang yang telus dan adil.
Peluang dah diberi semasa perbicaraan dengan fakta dan bukti mencukupi malah bukan setakat dalam negara, seluruh dunia bercakap tentang kleptokrasi hingga tercetusnya istilah ‘plundering idiot’ satu ketika dulu.
Rasuah adalah satu jenayah yang memberi kesan buruk kepada masyarakat, ekonomi, dan integriti institusi negara. Oleh itu, meskipun pelaku mengaku bersalah, hukuman yang dijatuhkan tetap perlu dilaksanakan sebagai peringatan kepada orang lain dan untuk memastikan keadilan ditegakkan.
Malah hukuman yang diterima oleh pelaku tidak seharusnya memberi kesan negatif kepada pihak lain yang tidak bersalah termasuk rakyat yang menanggung kerugian puluhan bilion jumlahnya.
Keputusan mahkamah adalah berdasarkan bukti dan proses yang sah dan sudah tentu ia bertujuan untuk memastikan bahawa tindakan rasuah tidak dibiarkan tanpa akibat.
Pada masa yang sama, pelaku juga perlu diberikan peluang untuk melakukan permohonan pengurangan hukuman setelah menjalani satu pertiga (1/3) daripada tempoh hukuman.
Ia merupakan sebahagian daripada proses untuk menebus kesilapan yang telah dilakukan tetapi perlulah melalui proses dan prosedur yang betul bukannya menggunakan pihak lain bagi mempengaruhi permohonan itu.
Namun, yang utama adalah bahawa keputusan mahkamah harus dihormati, dan hukuman yang dijatuhkan harus dilaksanakan tanpa kompromi, demi menegakkan keadilan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Sekiranya peniaga mencuri dan dijatuhi hukuman, beliau juga tertakluk kepada kedaulatan undang-undang tanpa mengira pangkat, kedudukan atau nama walau sehebat mana sekalipun semasa memegang jawatan tersebut.
Jadi bila ada adendum atau ‘berdentum’ sekalipun, tolong hormati undang-undang kerana tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang dalam sistem raja berpelembagaan.
Tak usah spin cerita siapa yang sorok, siapa yang kena letak jawatan sebab selagi mana tak melalui Lembaga Pengampunan, maka sesuatu hal tidak boleh dilaksanakan.
Janganlah lepas ni curi bilion-bilion wang rakyat tapi boleh saja mohon ‘tahanan rumah’ seolah tak pernah insaf jauh sekali merasa kesal dan bersalah malah ‘menyalak’ merata-rata macam anjing kena rasuk rupanya!
‘Plundering idiot’!
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




