Bersatu Sipitang Bubar, Pimpinan, AJK Keluar Parti

Ramli (tengah) bersama ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Sipitang dalam sidang media mengumumkan pembubaran bahagian itu pada 18 Februari 2026.
SIPITANG, 20 Feb – Seakan tidak dapat dihentikan, satu demi satu bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibubarkan termasuk di negeri ini.
Ia setelah Ketua Bahagian Bersatu Sipitang, Ramli Ag Said mengumumkan kesemua ahli jawatankuasa bahagian, keluar daripada parti, sekali gus membubarkan Bersatu Bahagian Sipitang.
Dalam kenyataannya di sini kelmarin, beliau berkata keputusan itu dicapai sebulat suara bersama seluruh Ahli Jawatankuasa Bahagian serta sayap-sayap parti.

“Saya selaku Ketua Bahagian Bersatu Sipitang dengan ini membuat kenyataan rasmi bahawa keputusan telah dicapai secara sebulat suara bersama seluruh Ahli Jawatankuasa Bahagian serta sayap-sayap parti untuk keluar serta membubarkan Bersatu Bahagian Sipitang berkuat kuasa serta merta pada hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, Ramli berkata pihaknya menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada bekas timbalan presiden yang dipecat, Hamzah Zainuddin.
Menurutnya, keputusan meninggalkan parti dan membubarkan Bersatu Bahagian Sipitang adalah kerana telah hilang kepercayaan terhadap Presiden, Muhyiddin Yassin.
Selain itu, katanya, keputusan itu dibuat sebagai bantahan terhadap keputusan pucuk pimpinan memecat beramai-ramai ahli parti berkenaan, yang nyata membelakangi keputusan Ahli Majlis Tertinggi (AMT).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

