Belum Tentu Pas Mampu Pertahan DUN Maharani, Nak Rampas Simpang Jeram?

ADUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman komited menjalankan tugasnya tanpa menghiraukan apa saja ‘pelan’ Pas untuk merampas kerusi DUN berkenaan yang dilihat Pas hanya pandai berpolitik 24 jam. Foto Nazri Abdul Rahman

PENDAPAT, 2 April – Di saat rakyat sedang menumpukan kebimbangan terhadap krisis di Asia Barat yang mula memberi kesan kepada kehidupan, termasuk kenaikan harga minyak mentah dunia yang sekali gus menaikkan harga minyak petrol dan diesel, Pas terus bermain politik 24 jam tanpa henti seolah-olah ‘pekakkan telinga, butakan mata’ menerima realiti hari ini.

Bukanlah bermakna tidak boleh berpolitik langsung, tetapi krisis seluruh dunia yang kini dirasai Malaysia menuntut semua pihak memberi kerjasama kepada kerajaan untuk menangani dengan bijak setiap tindakan yang kita akan lakukan selepas ini.

Angan-angan ‘tinggi’ Pas mahu merampas kerusi DUN Simpang Jeram dan mempertahankan kerusi DUN Maharani membuktikan mereka hanya pintar berpolitik 24 jam tetapi gagal mengurus hal-hal rakyat.

Walaupun dilihat ‘wajar’ mengulas tentang politik semasa apatah lagi Johor bakal mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh setahun lagi, tetapi kenyataan Pas Johor yang berangan mahu ‘merampas’ kerusi sangat tidak wajar dikeluarkan pada ketika ini.

Laporan media baru-baru ini menyebut, Pas Johor akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan berhasrat merampas kerusi DUN Simpang Jeram daripada Parti Amanah Negara (Amanah) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ke manakah bekas calon Pas DUN Simpang Jeram yang kalah pada PRK beberapa tahun lalu? Mampukah Mazri merampas kerusi itu daripada Nazri?

Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, DUN Simpang Jeram bukan asing bagi Pas kerana merupakan sebahagian kesinambungan kawasan lama Sungai Abong yang pernah dimenangi parti itu sebelum persempadanan semula dilaksanakan.

“Kemenangan tersebut bukan sahaja mencerminkan sokongan rakyat, malah menjadi asas kepada pembangunan serta pengukuhan pengaruh Pas di kawasan ini.

“Dalam sistem demokrasi, mana-mana parti politik berhak memilih kerusi yang ingin ditandingi dan dimenangi. Begitulah juga Pas melalui Perikatan Nasional (PN).

“Menjelang PRN, sasaran Pas jelas. Pas bukan sahaja bersedia mempertahankan DUN Maharani, malah akan berusaha memastikan kemenangan PN di DUN Simpang Jeram,” katanya dalam kenyataan.

Nampak?

Yang hanya Pas tahu ialah ‘rampas kerusi sana pertahan kerusi sini’ tanpa menawarkan sebarang pelan perancangan berupa ‘manifesto’ kepada rakyat sekiranya membentuk kerajaan negeri dalam Perikatan Nasional (PN).

Hari ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanggil semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk bertemu dan membincangkan isu konflik di Asia Barat bersama MTEN, namun Pas mengambil pendekatan berbeza apabila masih lagi mahu berpolitik tanpa mengira sama ada rakyat mesti dibantu segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan taklimat khas berhubung isu semasa di Putrajaya pada 1 April 2026.

Janganlah melontar naratif ‘itu kerja kerajaan bukan kerja kami’ sedang dalam masa sama menyebar naratif dan berita palsu di media sosial seolah-olah ‘nak tumbangkan kerajaan tapi bila dah berkuasa, tak pandai urus isu atau krisis’ dalam kempen politik mereka.

Inikah jenis pembangkang yang mahu Pas tonjolkan kepada rakyat?

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *