Belum Ada Keputusan Penyasaran Subsidi Petrol – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat 'mock-up' bangunan baharu LHDN ketika gimik perasmian pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu LHDN Pulau Pinang di Bandar Jelutong hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

GEORGE TOWN, 29 Jun – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai keperluan merasionalisasikan subsidi petrol RON95, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kenyataan Menteri Ekonomi sebelum ini, lebih menjurus kepada soal subsidi bersasar diesel yang perlu diteliti kerajaan tentang pelaksanaannya dan sekiranya ada dalam kalangan rakyat yang merasa terjejas, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan untuk bantuan subsidi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perasmian Bangunan Baharu LHDN Pulau Pinang di Bandar Jelutong hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya baca teks dia, dia kata kita tumpu soal diesel yang perlu kita teliti sama ada pelaksanaan berkesan dan jika kalau ada dalam kalangan rasa terjejas harus kemukakan.

“Saya tengok (dalam) konteks itu yang dia tekankan dan yang lain-lain belum ada apa-apa keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani plak perasmian pada Perasmian Bangunan Baharu LHDN Pulau Pinang di Bandar Jelutong hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan berkenaan ketika diwawancara Bloomberg ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Dalian China, pada Khamis yang berseloroh mengenai ‘kejutan petrol’ selepas pemansuhan subsidi pukal diesel.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan Anwar berkata Kerajaan Perpaduan akan mengadakan perbincangan mengenainya.

“Nenggiri tu biar diorang bincanglah,” katanya ringkas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos, manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos.

Ia susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim, diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *