Belanjawan 2026: Pelaksanaan SALAM RM2 Bilion Rapatkan Jurang Digital Sabah, Sarawak

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam inisiatif SALAM bakal membawa perubahan drastik terhadap peningkatan akses trafik internet yang lebih pantas dengan pelaburan besar bagi Sabah dan Sarawak.
KOTA KINABALU, 11 Okt – Pelaksanaan Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion bakal merapatkan jurang digital di Sabah dan Sarawak dengan sambungan sepanjang 3,190 kilometer dari Sedili, Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak serta Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah dalam jangka masa panjang.
Ia berupaya membuka ruang digital baharu kepada rakyat di kedua-dua wilayah berkenaan malah akan turut memacu pertumbuhan ekonomi digital lebih meluas dengan jaringan internet yang lebih stabil dan pelbagai selain menyokong kesaling hubungan 5G melalui menara telekomunikasi sedia ada menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menurut pemerhati ekonomi, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam inisiatif SALAM bakal membawa perubahan drastik terhadap peningkatan akses trafik internet yang lebih pantas dengan pelaburan besar bagi menyokong perkembangan ekonomi digital yang lebih komprehensif.
“Jaringan SALAM sudah semestinya bakal memperluas akses internet berkelajuan tinggi, mengukuhkan komunikasi luar bandar serta mempercepat kemajuan ekonomi digital dan pendidikan dalam talian di negeri ini serta di Sarawak.
“Ini membolehkan pergantungan utama kepada menara telekomunikasi sedia ada dapat dipelbagai malah ditambah baik dengan lebih sistematik sekali gus mengurangkan kependaman (latency) yang menyebabkan jaringan internet serta kualiti isyarat menurun.
“Adalah jelas pengumuman Perdana Menteri semalam tepat pada masanya memandangkan pelaksanaan JENDELA Fasa 1 dan 2 rancak dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta mampu menambah baik liputan perkhidmatan internet dengan lebih berkesan di kawasan berpenduduk malah tidak berpenduduk,” katanya.
Dengan pelaksanaan SALAM juga nanti mampu mempertumbuh hab ekonomi digital baharu di pantai barat Sabah seperti Tuaran dan Kudat serta diperluaskan ke pantai timur termasuk meliputi Sandakan, Lahad Datu dan Tawau di selatan.
Pada pembentangan semalam, Perdana Menteri menegaskan, SALAM merupakan nadi ekonomi digital baharu negara apabila jaringan kabel dasar laut beribu kilometer itu akan memanfaatkan lebih empat juta rakyat di Sabah dan Sarawak dalam masa sama memperkukuh kelangsungan bekalan elektrik dengan peruntukan RM1.2 bilion.
Ini sekali gus memperlihatkan Belanjawan MADANI 2026 ternyata belanjawan keadilan untuk wilayah yang sebenar, kerana ia bukan sekadar menyalurkan peruntukan besar tetapi membina asas kukuh bagi kemajuan menyeluruh Sabah dari bandar hingga ke desa.
Adalah jelas, segala usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI adalah untuk memberi keadilan secara saksama sebaik mungkin biarpun berdepan kekangan masa dan peruntukan akibat hutang negara yang tinggi dan kini berjaya diatasi sedikit demi sedikit.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




