Belanjawan 2026: PDRM Hargai Kesungguhan Kerajaan Perkasa Kebajikan Warga Pasukan Keselamatan

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, pengumuman peruntukan RM21.2 bilion itu mencerminkan tekad kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil dan sejahtera. Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Kesungguhan kerajaan memperkukuh keselamatan negara serta memperkasa kebajikan warga pasukan keselamatan dibuktikan melalui peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Menurut Ketua Polis Negara, pengumuman peruntukan RM21.2 bilion itu mencerminkan tekad kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil dan sejahtera.

“Belanjawan ini bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi manifestasi kepada iltizam kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara dan memperkasa kebajikan warga pasukan keselamatan.

“Peruntukan terbabit juga mencerminkan tekad padu kepemimpinan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah watan yang stabil, sejahtera dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan dijangka memberi kesan langsung terhadap kebajikan, prasarana serta kecekapan perkhidmatan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Antaranya RM1 bilion untuk penyelenggaraan serta pembelian aset baharu termasuk 100 kenderaan pacuan empat roda (4×4) bagi risikan dan operasi serta empat bot ronda jenis Fast Patrol Vessel (FPV) untuk Pasukan Polis Marin (PPM).

Kenyataan media Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang menyatakan penghargaan kepada kerajaan menerusi Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025. Foto PDRM

“Lebih RM1.5 bilion turut disediakan bagi pembinaan dan naik taraf fasiliti baharu badan beruniform seperti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Balai Polis Lawin di Gerik, kompleks bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan PPM di Labuan, bangunan tambahan Batalion 23 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman serta tiga pos PGA baharu di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada kesiapsiagaan keselamatan digital negara melalui penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber dan pengukuhan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

“Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi untuk memperkukuh kedaulatan digital, manakala NSRC kini dikemudi secara langsung oleh PDRM dengan peruntukan RM12 juta.

Kenyataan media Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang menyatakan penghargaan kepada kerajaan menerusi Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025. Foto PDRM

“Dalam masa sama, D11 Jabatan Siasatan Jenayah turut diperkasa dengan peruntukan RM20 juta bagi memodenkan sistem forensik digital dan menubuhkan Unit Sains Tingkah Laku (Behavioural Science Unit),” katanya.

Katanya lagi, kerajaan turut memperkukuh aspek kebajikan penjawat awam dengan peruntukan RM2.2 bilion bagi pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kuarters termasuk untuk anggota polis, tentera, doktor, jururawat, guru, bomba serta penjara.

“Kerajaan juga akan memperoleh rumah untuk dijadikan kuarters kepada anggota ESSCOM di Lahad Datu, Sabah; anggota Imigresen di Lipis, Pahang; dan Imigresen Kuala Lumpur,” katanya.

Kenyataan media Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang menyatakan penghargaan kepada kerajaan menerusi Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025. Foto PDRM

Beliau turut memaklumkan, skim pembiayaan perumahan muda bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dilanjutkan hingga 31 Disember 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada 48,000 penjawat awam muda di bawah umur 30 tahun.

“Had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA turut dinaikkan kepada RM1 juta, manakala pembiayaan kali kedua akan dipermudah tanpa perlu melunaskan pembiayaan pertama bermula suku keempat 2026.

“Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan elaun sara hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) separa biasiswa serta Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah, manakala pesara dan veteran kerajaan menerima RM250,” katanya.

Kenyataan media Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang menyatakan penghargaan kepada kerajaan menerusi Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025. Foto PDRM

Mohd Khalid menegaskan, PDRM akan melaksanakan setiap inisiatif dengan penuh amanah dan disiplin kewangan bagi memastikan semua peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh sistem keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *