Belanjawan 2026: Nelayan Lega PM Anwar Kekalkan Elaun RM300 Sebulan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PORT DICKSON, 11 Okt – Kerajaan MADANI terus membela pelbagai kategori ekonomi rakyat apabila meneruskan pembayaran elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan seperti diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Paling melegakan ialah golongan nelayan di daerah ini mendengar khabar gembira itu apabila kerajaan mengekalkan elaun berkenaan bagi menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang mencari rezeki secara sepenuh masa.
Ini sekali gus memastikan kelangsungan industri nelayan tempatan terutama bagi golongan Bumiputera yang masih berminat menceburi bidang berkenaan tanpa memikirkan keuntungan kerana ia merupakan darah daging mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.

Menurut salah seorang nelayan, Muhammad Zulfiqar Hazim, 31, dari Kampung Paya di sini berkata, bantuan berkenaan selama ini telah banyak membantu bagi menampung keperluan kos hidup bagi menyara ibu, isteri serta seorang anak yang masih kecil.
“Pekerjaan nelayan ini penting kerana tanpa mereka turun ke laut, bekalan ikan dan hasil laut akan berkurangan dan harga di pasaran akan melambung tinggi terutama ketika musim tengkujuh,” katanya.
Kendatipun, mereka berharap agar beberapa lagi inisiatif diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memastikan kos operasi nelayan dapat dioptimumkan seterusnya memastikan kelangsungan industri berkenaan dalam jangka masa panjang.
Malah mereka turut mengesyorkan agar pihak LKIM dapat mengadakan sesi libat urus memahami isu-isu nelayan yang sering kali ditindas pemborong besar atau ‘kartel’ yang memanipulasi hasil mereka untuk mengaut keuntungan berlebihan.
“Kami merasa ditipu apabila kartel besar ini membeli hasil kami dengan keuntungan sedikit tetapi menjualnya di pasaran terbuka dengan harga berlipat kali ganda kononnya kerana kos pengangkutan,” katanya lagi.
Diharapkan pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat aduan berkenaan bagi memastikan industri perikanan negara bebas dari sebarang penyelewengan yang mungkin membunuh industri nelayan kecil.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

