Belanjawan 2023 Dukung Pertumbuhan Ekonomi Bagi Limpahan Nikmat Untuk Rakyat

Belanjawan 2023 yang mengambil pendekatan dasar pengembangan antaranya bagi mendepani tantangan semasa termasuk cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat.
Menghuraikan fakta dan cabaran sebenar yang membelit negara dan ekonomi, Anwar yang juga Menteri Kewangan mencadangkan Belanjawan 2023 yang mengambil pendekatan dasar pengembangan antaranya bagi mendepani tantangan semasa termasuk cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Belanjawan MADANI ini ialah cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan,” kata beliau semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2023) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Belanjawan 2023 itu akan menumpukan kepada 12 ikhtiar utama serta berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulihkan keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.
Anwar menyenaraikan 12 ikhtiar yang akan diambil Kerajaan Perpaduan bagi melaksanakan Belanjawan 2023 yang meliputi kemampanan fiskal, memenuhi keperluan ekonomi rakyat, mendepani musibah bencana, meraih pelaburan berimpak tinggi dan pembaharuan sektor awam.
Selain itu, ia melibatkan memperkasa kerjasama awam-swasta, mengutama agenda digital, memperkukuh peranan agensi dan syarikat kerajaan, menoktah miskin tegar, meminimum beban sara hidup, menjamin keharmonian dan perpaduan serta menyediakan keperluan asas berkualiti.
Mengenai peruntukan pembangunan sebanyak RM97 bilion dalam belanjawan yang bertemakan Membangun Malaysia MADANI, Anwar berkata ia untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam selain kemudahan desa.
Anwar berkata kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan golongan lebih kaya menggalas tanggungjawab secara bersama.
Kerajaan juga belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata beliau.
“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih lima peratus, kadar upah masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya,” kata Anwar.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan bercadang memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
Menyatakan sokongan terhadap ikhtiar ‘Generational Endgame’ atau Generasi Penamat, Anwar berkata kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape, dengan separuh hasil duti eksais itu akan dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Anwar berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela dan melalui program tersebut, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.
Bagi membantu penjaja dan peniaga kecil, beliau berkata sejumlah RM50 juta disediakan bagi membina dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk di lokasi tumpuan seluruh negara.
Turut disentuh dalam Belanjawan 2023 itu ialah persiapan mendepani sebarang ancaman bencana yang melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada mangsa.
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi penyediaan peralatan dan aset, dan RM20 juta dibawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk 2,000 persatuan penduduk bagi menghadapi bencana.
Anwar juga mengumumkan peruntukan RM38 juta bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutan.
Menyentuh mengenai instrumen wakaf yang menjadi mekanisme untuk kesejahteraan sejagat, Anwar berkata kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf MADANI bernilai RM1.0 bilion yang melibatkan aset seperti tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.
Menekankan kepentingan menyegerakan prasarana rakyat, Anwar berkata kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.
“Tidak boleh diterima akal bahawa zaman sekarang rakyat masih terpaksa berdepan isu sekolah dan klinik daif. Saya tidak mahu perkara ini terus berlarutan. Kalau disebabkan projek lambat siap kerana mematuhi prosedur, apa guna jadi kerajaan kalau tidak memudah cara. Ini perlu segera diselesaikan tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan, dan sejumlah RM1.5 bilion untuk menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan luar bandar.
Bagi menangani isu-isu rakyat seperti isu muflis, Anwar berkata Akta Insolvensi 1967 akan dipinda supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat selain menyasarkan 130,000 rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaan itu.
Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac, katanya.
