Bekas Timbalan Speaker, Pemimpin Bersatu Didakwa Terima Rasuah Kes Projek Tambak Laut

Mohamad Ali yang juga pemimpin kanan Bersatu direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan projek tambak laut di Melaka bernilai RM45.1 juta.
SHAH ALAM, 18 Jun – Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 20 pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kereta mewah berhubung projek tambak laut di Melaka.
Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, yang juga pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa dengan 17 pertuduhan secara rasuah menerima wang tunai RM5,000 hingga RM20,000 dengan jumlah keseluruhan RM235,000 daripada seorang pengarah syarikat lain bergelar Datuk.
Bagi tiga lagi pertuduhan, dia didakwa menerima tiga kenderaan mewah jenis BMW730Li, Range Rover dan Bentley Flying Spur daripada individu sama sebagai upah melantik syarikat itu menjadi kontraktor menjalankan kerja pembinaan dan penyiapan kerja penambakan serta semua kerja berkaitan bagi projek ‘Cadangan Menambak Laut Seluas 40.47 hektar di perairan Kawasan Kota Laksamana, Melaka Tengah, Melaka bernilai RM45.1 juta untuk tujuan pembangunan bercampur.
Kesalahan itu dilakukan di dua premis masing-masing di Glenmarie di sini dan Sungai Buloh antara Januari 2017 hingga 20 Januari tahun ini.
Justeru, Mohamad Ali didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM60,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Mohamad Ali memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan kepada anak guamnya dan bersetuju jumlah jaminan serta syarat tambahan dicadangkan.
Hakim kemudian memutuskan jumlah jaminan demikian dan larangan kepada tertuduh mengganggu saksi pendakwaan, manakala 24 Julai pula ditetapkan bagi sebutan semula kes.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


