Bekas Pemain Manchester United Kembali Ke ‘Lubuk’

TURIN, 28 Feb – Bekas pemain kelab Liga Perdana Inggeris (PL), Manchester United, Paul Pogba mungkin akan kembali beraksi di atas padang bersama kelab lamanya, Juventus menjelang perlawanan Serie A menentang Torino selepas sembuh daripada beberapa kecederaan, jelas pengurus, Massimiliano Allegri.
Pemain antarabangsa Perancis itu menjalani pembedahan selepas cedera di bahagian meniscus September lalu dan juga terlepas saingan Piala Dunia Qatar bersama skuad kebangsaan.
Satu-satunya penampilan Pogba bersama Juventus musim ini ialah ketika disenaraikan di bangku simpanan ketika mereka tumpas 0-2 kepada Monza 29 Januari lalu.
“Pogba akan disenaraikan menjelang aksi seteru setempat dan bakal diturunkan jika perlu. Dia tidak mempunyai banyak masa bermain kerana kecederaan kakinya,” kata Allegri kepada pemberita.
“Saya bercakap dengannya seperti yang saya lakukan dengan pemain lain. Dia mesti faham bahawa kami berada di peringkat penting musim ini. Dia mesti mempunyai dorongan untuk memberikan sumbangannya pada penghujung musim.”
