Bekas Menteri, Wakil Rakyat Wajar Pilih Satu Pencen Sahaja – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di Kuala Lumpur. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan menjadi tanggungjawab moral kepada ahli politik untuk menolak beberapa pencen yang layak diperoleh dan hanya memilih satu untuk diterima.
Dari segi moral, Perdana Menteri berkata, orang yang mendapat pencen seperti bekas menteri, menteri besar dan pegawai kerajaan yang menerima tiga hingga empat pencen wajar menolak dan hanya memilih satu daripadanya.
“Dalam keadaan begini, memenuhi tanggungjawab moral mereka. Mungkin mereka boleh menolak pencen yang lain dan memilih satu. Itu mungkin … terserah kepada mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di sini, hari ini.
Perdana Menteri mengulas gesaan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) supaya bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan dan skim pencen diteruskan untuk kakitangan awam.

Semalam, Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, berkata bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau disebut gratuity (ganjaran).
Beliau berkata, bayaran berkenaan bukanlah pencen seperti difahami sesetengah pihak.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap tidak berpencen dan lantikan dibuat secara kontrak.
Anwar sebelum ini berkata, sebarang langkah memansuhkan pencen dalam kalangan penjawat awam juga terpakai membabitkan ahli politik, termasuk wakil rakyat.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik membabitkan wakil rakyat, jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.
Anwar berkata, sebarang langkah memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, buat masa ini tidak boleh dilakukan kerana terikat dengan undang-undang tertinggi negara.
“Sebenarnya masalah orang tidak baca. Perlembagaan tidak membolehkan kita membatalkan apa telah dipersetujui sebelum ini.
“Yang kita hendak mulakan ialah peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan baharu termasuk jawatan politik. Itu cadangan kita yang akan dibentangkan di Jemaah Menteri dan kemudian di Parlimen kerana membabitkan beberapa pindaan undang-undang.
“Jadi tidak boleh batalkan sedia ada kerana terikat dengan perjanjian jaminan Perlembagaan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
