Bekas Askar Terharu PM Anwar Ziarah, Kali Terakhir 30 Tahun Lalu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan ziarah dan tinjauan mesra di Kubang Semang di Permatang Pauh pada 20 Mac 2026. Foto PMO

PERMATANG PAUH, 20 Mac – Penghujung Ramadan tahun ini cukup bermakna buat seorang bekas askar wataniah yang tidak menyangka Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah di terataknya di Kampung Pelet, di sini hari ini.

Hashim Hamid, 78, yang menghidap kencing manis nyata terharu menerima kunjungan Perdana Menteri itu, memandangkan kali terakhir bertemu Anwar pada 1995 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ketika itu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada majlis bersanding perkahwinan anak sulung Hashim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menziarahi Bahri Osman, 82, di Kampung Pelet di Permatang Pauh pada 20 Mac 2026. Foto Bernama

Menurut Hashim, Anwar yang ketika itu Menteri Kewangan pasti akan pulang ke kampung halaman dan mengambil kesempatan menziarahi kenalan serta penduduk sekitar kawasan ini.

“Dulu pakcik Ketua Cawangan UMNO Kampung Pelet dan Anwar juga ahli UMNO dan kami berkawan masa dalam politik dan bersembang mengenai UMNO.

“Jadi, dia (Anwar) memang kerap balik… walaupun dah lama tak jumpa dan pakcik juga rakyat biasa sahaja, tetapi pakcik terharu dapat tahu dia datang nak melawat pakcik,” katanya ketika ditemui.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan ziarah dan tinjauan mesra di Kubang Semang di Permatang Pauh pada 20 Mac 2026. Foto PMO

Anwar meluangkan masa hampir setengah jam menziarahi dua kenalannya termasuk Hashim yang mengalami masalah kesihatan di kampung berkenaan selepas selesai solat Jumaat di masjid berhampiran.

Seorang lagi rakan diziarahi adalah Bahari Osman, 82, yang turut terlantar.

Sementara itu, anak kepada Bahari, Raihani Bahari, 49, berkata dia pada mulanya menganggap berita mengenai kunjungan Perdana Menteri sebagai cubaan untuk menipunya kerana tidak menyangka pemimpin negara itu sanggup menyantuni bapanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan ziarah dan tinjauan mesra di Kubang Semang di Permatang Pauh pada 20 Mac 2026. Foto PMO

“Ayah ada masalah stroke (angin ahmar) sejak 20 tahun lalu dan keadaan kesihatannya pasang surut, menyebabkannya terlantar serta mengharapkan bantuan alat pernafasan.

“Ini pun ayah baru dapat keluar hospital selepas 12 hari ditahan wad. Kebetulan semalam saya ke Yayasan Aman bagi memohon bantuan kerusi roda untuk ayah.

“Tetapi tidak sangka pagi tadi ada orang maklum Perdana Menteri nak datang… saya seakan-akan tidak percaya,” katanya yang menetap di Manjung, Perak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan ziarah dan tinjauan mesra di Kubang Semang di Permatang Pauh pada 20 Mac 2026. Foto PMO

Hashim kini dijaga isteri, Puteh Man, 75, kerana dua lagi anaknya menetap di Sungai Petani, Kedah manakala seorang lagi tinggal berdekatan kampung sama.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *