Banjir: Tiga PPS Di Trusan Ditutup – JBPD Lawas

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lawas mengemas peralatan selepas PPS di Trusan ditutup pada 10 Mac 2025. Foto APM Lawas

LAWAS, 11 Mar – Berikutan cuaca semakin baik, sebanyak tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Trusan di sini telah ditutup semalam, menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Lawas yang juga Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dalam satu kenyataan.

PPS terlibat adalah PPS Dewan Masyarakat Trusan, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hwa dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang.

“Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan kerja pembersihan PPS dilakukan bersama agensi bertanggungjawab iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lawas, RELA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lawas,” katanya.

Penduduk menerima bantuan daripada beberapa pihak di beberapa PPS aktif di daerah kecil Trusan pada 9 Mac 2025. Foto APM Lawas

Ladin berterima kasih atas penglibatan semua agensi bertanggungjawab iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang, APM, PDRM, RELA, Baitulmal Lawas, Bomba Lawas dan semua yang terlibat dalam memastikan kebajikan mangsa terjejas banjir terbela.

Terdahulu, tiga PPS tersebut menempatkan 139 mangsa banjir dari lapan kampung di Trusan pada Sabtu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lawas Leftenan Pertahanan Awam Maradona Tatah berkata, seramai 174 individu melibatkan 44 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS tersebut telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir yang semakin reda.

Tiga kampung iaitu Kampung Seberang Kedai, Kampung Masjid, Kampung Gelapas serta Kampung Lintang merupakan antara 11 kampung di sekitar Trusan yang dinaiki air sejak Jumaat lepas akibat hujan berterusan tanpa henti.

Sementara itu di daerah Limbang, PPS Dewan Masyarakat Medamit ditutup pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten Pertahanan Awam Bonnie Madisun dalam kenyataannya berkata, 173 individu daripada 53 keluarga yang ditempatkan di PPS tersebut telah dibenarkan pulang.

PPS Dewan Masyarakat Medamit mula diaktifkan pada Sabtu lalu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *