Banjir Sabah: NADI Sediakan Tuisyen Atas Talian Percuma Untuk Pelajar Terjejas

Para pelajar memanfaatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi mengikuti pembelajaran tuisyen digital secara percuma termasuk bagi para pelajar terjejas banjir di Sabah. Foto NADI Malaysia
CYBERJAYA, 19 Sep – Berikutan situasi banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah ketika ini, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) melaksanakan tuisyen digital percuma secara atas talian kepada para pelajar terjejas di seluruh negeri ini.
Menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook, NADI Malaysia berkata, bagi pelajar yang kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah, mereka boleh hadir ke pusat NADI berhampiran untuk menyertai kelas tuisyen dari tingkatan 1 hingga 6, melayari internet bagi mendapatkan bahan bacaan dan rujukan serta menyertai Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disediakan.
“Jom datang ke pusat NADI berhampiran dan manfaatkan kemudahan yang sedia ada serta jaga diri dan utamakan keselamatan anda sekeluarga,” kata kenyataan itu.
NADI juga menyediakan senarai PPS yang berhampiran dengan pusat berkenaan antaranya Dewan Kampung Meruntum, Dewan Masyarakat Bongawan dan Dewan Masyarakat Papar.
Antara mata pelajaran yang disediakan menerusi inisiatif berkenaan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains dan Pengajian Am menerusi dua sesi iaitu bermula jam 9.15 pagi dan 3.30 petang selama sejam.
Difahamkan seramai 42,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah menikmati manfaat tuisyen digital percuma melalui NADI sejak inisiatif berkenaan dimulakan September tahun lalu.
“Inisiatif Digital Learning & e-Kelas ini membuka peluang kepada pelajar khususnya daripada kumpulan B40 untuk mendapat akses kelas tambahan berkualiti secara percuma.
“Dengan 1,099 pusat NADI dilengkapi internet stabil, pendidikan kini lebih inklusif dari bandar hingga ke pulau terpencil,” menurut perkongsian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Untuk rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan kelonggaran kepada sekolah terjejas banjir mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan para pelajar boleh mengikuti sesi secara atas talian termasuk inisiatif yang disediakan NADI.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



