Banjir Sabah: Jumlah Mangsa Menurun Malam Ini

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort telah membawa mangsa sakit yang dipercayai sesak nafas dari Kampung Bingkul ke Hospital Beaufort untuk diberikan rawatan, pada lewat malam 27 Februari 2026. Foto APM Beaufort
KOTA KINABALU, 28 Feb – Jumlah mangsa banjir di Sabah menurun kepada 6,595 orang daripada 2,173 keluarga malam ini, berbanding 6,910 daripada 2,282 keluarga petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa masih kekal di dua daerah, iaitu Beaufort 1,462 orang daripada 467 keluarga dan Membakut 202 orang (74 keluarga).
Daerah Tenom pula menunjukkan penurunan jumlah mangsa, iaitu 4,931 orang daripada 1,632 keluarga berbanding 5,246 orang daripada 1,741 keluarga petang tadi.

Dua daripada tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Membakut, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Patrick dan SMK Membakut ditutup pada 3 petang tadi.
Sebanyak 93 kampung di daerah Beaufort ditenggelami air banjir, Tenom (46 kampung) dan Membakut (16 kampung).
Kesemua mangsa ditempatkan di 30 PPS, yang dibuka sejak Rabu lepas, sekali gus menyebabkan keseluruhan penduduk di 155 kampung di tiga daerah itu tidak dapat melakukan aktiviti harian masing-masing.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
