Australia Beri Hak Pekerja Tidak Perlu Layan Panggilan, Mesej Di Luar Waktu Kerja

Kesatuan kerja mengalu-alukan perundangan terkini itu dengan menyifatkan ia memberi peluang pekerja mendapatkan kembali keseimbangan bekerja dan kehidupan.

CANBERRA, 27 Ogos – Australia memberi jutaan pekerja hak untuk tidak melayan urusan kerja selepas waktu pejabat bermula semalam, termasuk membenarkan pengabaian panggilan, emel dan mesej yang tidak munasabah daripada majikan.

Pekerja kini boleh menolak untuk memantau, membaca atau memberi maklum balas terhadap majikan yang menghubungi di luar waktu kerja, melainkan penolakan itu dianggap ‘tidak munasabah’.

Undang-undang itu yang digubal pada Februari, mula berkuat kuasa untuk syarikat bersaiz sederhana dan besar, manakala firma yang lebih kecil dengan kurang daripada 15 pekerja akan bermula 26 Ogos 2025.

Kesatuan kerja mengalu-alukan perundangan terkini itu dengan menyifatkan ia memberi peluang pekerja mendapatkan kembali keseimbangan bekerja dan kehidupan.

“Hari ini (Isnin) adalah hari bersejarah bagi pekerja. Kesatuan sudah menuntut semula hak untuk ‘berhenti’ selepas bekerja,” kata Presiden Majlis Kesatuan Sekerja Australia, Michele O’Neil

Di Sydney, orang ramai kelihatan mengalu-alukan perubahan itu.

“Saya menghadapi kesukaran untuk menamatkan (kerja) dan walaupun saya mungkin tidak semestinya masuk, otak saya sentiasa bekerja lebih masa.

“Jadi, menerima panggilan selepas waktu kerja daripada majikan saya tidak membantu,” kata pekerja sukarelawan, Karolina Joseski.

Bagaimanapun, pembaharuan itu mendapat sambutan dingin daripada badan industri terkemuka Australia.

Kumpulan Industri Australia dalam kenyataan berkata, undang-undang itu dibuat terlalu tergesa-gesa, tidak matang dan mengelirukan.

“Majikan dan pekerja kini tidak pasti sama ada mereka boleh mengambil atau membuat panggilan di luar waktu untuk menawarkan syif tambahan,” katanya.

Undang-undang sama dilaksana di beberapa negara Eropah dan Amerika Latin.

Penyelidikan menunjukkan bahawa hak untuk memutuskan hubungan di luar waktu kerja memanfaat pekerja, kata profesor bersekutu Universiti Sydney, Chris Wright.

Menurut kajian agensi berkaitan kerja Kesatuan Eropah (EU), Eurofound, lebih 70 peratus pekerja dalam syarikat EU yang mempunyai hak ke atas dasar putus hubungan selepas waktu kerja menganggap ia ber impak positif.

“Memiliki langkah yang memulihkan sedikit sebanyak sempadan antara kerja dan kehidupan bukan kerja adalah satu perkara yang positif, sudah tentu ia manfaat untuk pekerja, tetapi ia juga baik untuk majikan,” katanya yang menganggap langkah itu baik khususnya bagi industri yang cuba menarik pekerja baharu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *