ASEAN 2025: Teks Ucapan Penuh PM Anwar Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia menyampaikan ucapan pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Berikut merupakan teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bermula hari ini.
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia,
Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang Dihormati,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi.
Adalah menjadi satu penghormatan besar buat saya untuk mengalu-alukan kehadiran semua ke Kuala Lumpur bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. Selamat Datang.

Malaysia berbesar hati menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini, satu tahun yang penuh makna. Kita menandakan sedekad penubuhan Komuniti ASEAN, satu peluang untuk kita merenung kembali dan memperbaharui tekad.
Pada masa yang sama, kita akan melakar Wawasan 20 Tahun yang berpandangan jauh, yang memerlukan komitmen teguh dan azam kolektif kita.
Detik penting ini memberikan semangat baharu dan keyakinan kepada ASEAN, yang terserlah melalui ketahanan luar biasa dalam menghadapi perkembangan global yang semakin rumit dan membimbangkan.
Detik penting ini memberikan semangat baharu dan keyakinan kepada ASEAN, yang terserlah melalui ketahanan luar biasa dalam menghadapi perkembangan global yang semakin rumit dan membimbangkan.

Sesungguhnya, dunia kini menyaksikan peralihan dalam susunan geopolitik dan sistem perdagangan global juga semakin tertekan, terutama dengan pelaksanaan tarif unilateral oleh Amerika Syarikat (AS).
Perlindungan perdagangan sedang meningkat semula ketika kita menyaksikan multilateralisme semakin runtuh.
Walaupun begitu, kita bersyukur atas semangat kesepakatan dan persaudaraan antara Negara Anggota ASEAN yang memungkinkan kita bersatu menghadapi cabaran-cabaran ini.

Tindakan pantas ASEAN dalam menangani isu tarif AS melalui penubuhan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN adalah langkah penting, bukan saja untuk penyelarasan, tetapi juga untuk menunjukkan ketegasan dan keyakinan kita.
Bagi isu Myanmar, kita telah mengambil langkah positif dengan penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Formal di bawah Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Kumpulan ini diketuai bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra dan turut bermesyuarat di Brunei Darussalam, yang telah menerima kehadiran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei.
Sejak mesyuarat ketiga di Bangkok, kita telah mencatat kemajuan dalam usaha menyelesaikan krisis Myanmar. Kami merakamkan penghargaan bahawa mesyuarat seterusnya akan dihoskan bekas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen.

Ingin saya tekankan bahawa pendekatan secara senyap sepanjang proses ini sangat penting. Walaupun langkahnya kecil dan jambatannya rapuh, namun dalam soal keamanan, jambatan yang rapuh lebih baik daripada jurang yang semakin melebar.
Bagi ASEAN, keamanan, kestabilan dan kemakmuran kita sering bergantung kepada sistem antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan, yang disokong aliran perdagangan, modal dan pergerakan rakyat yang bebas.
Namun asas-asas ini kini semakin goyah akibat tindakan sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun, sekali lagi, saya amat yakin dengan keteguhan dan daya tahan ASEAN untuk mengharungi segala cabaran dan ketidaktentuan yang mendatang.
Dengan semangat kesepakatan dan keyakinan untuk membentuk masa depan kita sendiri, kita mampu berada di hadapan.
Dalam konteks ini, kita berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, yang membuktikan niat baik kita untuk memperkukuh dan memperluas kerjasama serta bertindak dengan kejelasan strategik.
Saya percaya Sidang Kemuncak tiga hala ini memperlihatkan kejayaan dalam membentuk semula matriks perkongsian yang mencerminkan realiti multipolar masa kini.

Ia melambangkan kuasa perpaduan blok serantau, yang sudah pasti memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan.
Paling utama, kita mesti memelihara sistem pelbagai hala dan memastikan model geoekonomi ASEAN-GCC-China terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan untuk rantau dan rakyat kita.
Dengan semangat inilah, Malaysia selaku Pengerusi tahun ini, mengetengahkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan.” Ia adalah satu pendekatan strategik yang berpaksikan nilai.

Tema ini bukan saja mencerminkan aspirasi kita, tetapi juga tanggungjawab kita. Ia berlandaskan keyakinan bahawa masa depan ASEAN mesti diasaskan pada dua tonggak utama, pertumbuhan yang saksama dan mampan serta ketahanan yang berpanjangan.
Prinsip-prinsip ini mesti dihayati dalam agenda dan wawasan ASEAN. Malaysia amat menghargai sokongan semua pihak dalam memastikan kepengerusian kami menyumbang ke arah visi bersama ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
