ASEAN 2025: Pertemuan PM Anwar, PM Hun Manet Fokus Agenda Pelaburan, Keselamatan Siber

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet pada sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet berkisar kepada perbincangan dalam aspek pelaburan dan keselamatan siber antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan selama 20 minit pada sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini, kedua-dua pemimpin juga menekankan keperluan untuk terus mengukuhkan hubungan demi manfaat dan kesejahteraan bersama.

“Ia (bidang kerjasama) meliputi bidang pelaburan dan perdagangan, industri halal, keselamatan siber, perbankan Islam, tenaga, pertahanan, pelancongan, pertanian serta pendidikan.
“Kerjasama erat ini adalah manifestasi kesungguhan kedua-dua negara untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk rantau yang aman, stabil dan makmur,” katanya dalam kenyataan di sini.

Untuk rekod, Malaysia dan Kemboja menjalin kerjasama strategik dalam bidang keselamatan siber dan selaku Pengerusi ASEAN 2025, ASEAN telah meningkatkan kerjasama untuk menangani jenayah rentas sempadan menerusi agensi berkaitan.
Malaysia juga terus mengekalkan kerjasama rapat dan berkesan dengan pihak berkuasa Kemboja, menggambarkannya sebagai “tiada tandingan”.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sementara delegasi Kemboja diwakili menteri-menteri pelaburan, perdagangan dan keselamatan dalam negeri serta para pegawai tertinggi kerajaan negara itu.
Hun Manet diiringi isterinya, Pich Chanmony serta delegasi tiba di Kuala Lumpur semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
