ASEAN 2025: Deklarasi ASEAN 2045 Bukti Malaysia Berani Mendepani Cabaran Mendatang – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bersama pemimpin ASEAN pada Majlis Menandatangani Deklarasi ‘ASEAN 2045 : Our Shared Future’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kemampuan Malaysia melahirkan Deklarasi Kuala Lumpur 2045 iaitu ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’ menggantikan pelan ‘ASEAN 2025: Forging Ahead Together’ membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan jauh dan berani meneroka inisiatif baharu dalam mendepani cabaran dua dekad akan datang.
Dalam ucapannya sempena majlis menandatangani deklarasi itu di sini, Perdana Menteri mengupas kejayaan
menjadi pemacu utama di sebalik lahirnya Deklarasi Kuala Lumpur yang ditandatangani kesemua 10 negara anggota dalam majlis penuh bersejarah itu.

“Deklarasi ini adalah lambang tekad bersama untuk memacu integrasi serantau, menjunjung kemakmuran yang adil dan membina masa depan ASEAN yang lebih bersatu, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
“Menerusi deklarasi ini, ASEAN berikrar untuk tidak hanya menyesuaikan diri tetapi turut menerajui perubahan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi digital serta ekonomi hijau dan biru,” katanya.

Dokumen penting itu ditandatangani Anwar, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Loas, Sonexay Siphandone.
Turut menandatanganinya ialah Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, Aung Kyaw Moe.

Mengulas lanjut, beliau turut menggariskan keperluan membina pertumbuhan mampan dengan memperkasa potensi insan, merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf hidup seluruh warga rantau ini.
“Deklarasi Kuala Lumpur mencerminkan iltizam Malaysia dan negara anggota ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai tiang seri kestabilan, tatkala dunia bergelut dengan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.

“Namun dalam kita menggapai langit menerusi inovasi dan teknologi baharu, saya tegaskan bahawa usaha ini mesti diurus secara berhemah agar kemajuan tidak mengorbankan keadilan dan kesejahteraan sosial,” katanya lagi.
Tambah Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025, Wawasan ASEAN 2045 ialah ikrar kepada generasi akan datang bahawa masa depan rantau ini harus dibina atas asas kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama.

“Semoga ikhtiar ini menjulang ASEAN ke mercu tertinggi dan menjadi sumber kebanggaan kepada seluruh rakyat di rantau ini,” tambahnya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
