AS Lulus Bantuan Ketenteraan AS$80 Juta Kepada Taiwan

Presiden Biden menerusi kenyataan Jabatan Negara memaklumkan Kongres mengenai pakej AS$80 juta itu yang disalurkan bawah program Pembiayaan Ketenteraan Asing. Foto AFP

WASHINGTON, 31 Ogos – Pentadbiran Presiden Joe Biden untuk julung kalinya meluluskan bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) secara langsung kepada Taiwan.

Selasa lalu, Jabatan Negara memaklumkan Kongres mengenai pakej AS$80 juta itu yang disalurkan bawah program Pembiayaan Ketenteraan Asing yang secara amnya membabitkan geran atau pinjaman untuk negara asing berdaulat.

Selama lima dekad, AS secara rasminya hanya mengiktiraf Beijing walaupun Kongres, bawah Akta Perhubungan Taiwan, memerlukan pembekalan senjata untuk pertahanan Taipei.

Sebelum ini, ia dilakukan melalui penjualan senjata berbanding bantuan secara langsung kepada Taiwan.

Presiden Biden menerusi kenyataan Jabatan Negara memaklumkan Kongres mengenai pakej AS$80 juta itu yang disalurkan bawah program Pembiayaan Ketenteraan Asing. Foto AFP

Jabatan Negara bagaimanapun menekankan bahawa bantuan julung kali bawah program itu kepada Taipei, tidak berkait sebarang pengiktirafan terhadap kedaulatan Taiwan.

“Konsisten dengan Akta Perhubungan Taiwan dan dasar Satu China, yang mana ia masih tidak berubah, AS menyediakan keperluan pertahanan untuk membolehkan Taiwan mengekalkan keupayaan pertahanan diri yang mencukupi.

“AS mempunyai kepentingan yang kekal dalam keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan, di mana ia penting untuk keselamatan serta kemakmuran serantau dan global,” kata jurucakap Jabatan Negara.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan ringkas, melahirkan perasaan terima kasih dan menyifatkan bantuan terbabit akan membantu keamanan serta kestabilan serantau.

Kementerian Pertahanan China ketika ditanya mengenai bantuan ketenteraan AS itu pula memberi amaran bahawa ia akan membahayakan Taiwan.

“Penjualan dan bantuan ketenteraan AS kepada Taiwan hanya menyuburkan kompleks industri ketenteraan AS, namun membahayakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Taiwan.

“Tentera Pembebasan Rakyat (tentera China), seperti biasa, mengambil segala langkah sewajarnya untuk menentangnya dengan tegas,” kata jurucakap, Wu Qian.

Jabatan Negara tidak membuat pengumuman rasmi atau memberikan perincian mengenai bantuan itu, namun individu yang biasa dengan notis terbabit memaklumkan bantuan berkenaan akan membabitkan sokongan untuk keperluan tindakan di laut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *