Anwar Ucap Tahniah Kepada Aaron-Soh Muncul Juara Dunia

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan badminton nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul juara dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo pada Ahad.
Menerusi kiriman yang diulang ciap (retweet) dari Twitter rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Malaysia berbangga apabila pasangan beregu utama negara itu menjadi juara dunia tahun ini.
“Tahniah Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo!
Malaysia berbangga! 🇲🇾,” tulis Anwar jam 3.44 petang tadi.
Terdahulu, mereka bukan saja berjaya membuang badi tanpa gelaran namun mereka mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.
Kejayaan terbabit berjaya dilakar selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra 21-19,21-14 pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad.
Walaupun rekod pertemuan kedua-dua pasangan terbabit tidak memihak kepada beregu negara namun mereka membuktikan tiada apa yang mustahil untuk melakar kejayaan.
Malah, pertembungan set pertama menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang satu ketika ketinggalan 12-16 mampu bangkit menyamakan kedudukan sebelum memenangi perlawanan itu dengan kiraan mata 21-19.
Kemenangan itu jelas sekali menyuntik semangat pasangan negara apabila mereka menampilkan aksi cukup bertenaga untuk mendahului perlawanan.
