Anwar Terus Komited Bela Nasib Rakyat Palestin

Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Palestin tidak sekadar menyampaikan mesej keras terhadap pemimpin barat malah turut menyelamatkan 127 rakyat Palestin untuk dibawa ke Malaysia sebagai tanda solidariti sesama umat Islam. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 26 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan komited dalam komitmennya dalam membela nasib rakyat Palestin.
Setelah menunjukkan banyak kali ketegasannya sebelum ini, kini beliau sekali lagi tidak berganjak daripada perjuangannya itu.
Berucap merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beliau menegaskan, negara barat tidak perlu mengajar dunia Islam mengenai makna demokrasi dan hak asasi.

Katanya, negara barat sebaliknya perlu menghentikan usaha mengawal media antarabangsa, semata-mata demi mengetengahkan naratif yang tidak tepat mengenai peperangan di Gaza dan Palestin.
“Negara barat juga perlu memperbetul naratif dan mengakui bahawa pergolakan di Palestin bermula dan berlarutan sejak 1948, dan bukannya bermula akibat serangan Hamas pada 7 Oktober.
“Kita perlu jelas dan tidak boleh ditentukan oleh negara barat yang mahu memulakan naratif (serangan berterusan di Palestin bermula sejak tindakan ketenteraan Hamas) pada 7 Oktober lalu.

“Pemusnahan berterusan (di Palestin) berlaku sejak 1948, diikuti pencerobohan langsung ke Masjid al-Aqsa pada 1969.
“Malah kini pemusnahan berterusan, sama ada infrastruktur atau manusia serta genosid. Ini yang berlaku,” katanya.
MALAYSIA KEKAL PENDIRIAN
Dalam hal ini, Anwar turut menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan syarikat yang berdaftar dengan Israel untuk masuk dan melakukan sebarang aktiviti di negara ini.
Justeru kata beliau, kerajaan harus menggunakan kebijaksanaan, mengetahui kekuatan dan hak serta kesempatan untuk membangunkan kekuatan dalaman dan tidak hanya menentang semberono sehingga melemahkan seni budaya negara.

“Orang-orang yang menegur kita dalam soal perdagangan dengan mana-mana syarikat, harus menjawab mengapa pada ketika mereka terlibat dengan tampuk penguasaan mengizinkan perdagangan terus dengan (syarikat perkapalan) ZIM dan syarikat Israel.
“Itu bagi saya isu pokok yang harus dijawab.
“Saya tidak mahu guna ruang ini hanya nak jelas hal sedemikian, tapi kita harus tekankan, tapi kita harus sepakat, satu suara,” katanya lagi.
Tegas Anwar lagi ikhtiar membantu meringankan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin atas pertimbangan kemanusiaan dan semoga ianya mendapat sokongan rakyat Malaysia.
- Oleh Noraini Nordin
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
