Anwar Setuju Perkukuh KEADILAN Dengan Rafizi

SHAH ALAM, 17 Jul – Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim, menganggap ‘kritikan’ oleh timbalannya, Rafizi Ramli, terhadap isu kepimpinannya akhirnya terlerai, apabila kedua-dua pimpinan tertinggi KEADILAN itu bersetuju untuk senada bersama memperkukuh parti dan membawa agenda perubahan untuk rakyat.
Berucap pada sesi penggulungan sempena Kongres Nasional KEADILAN 2022 hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ramai cuba melagakan mereka kerana mahu melihat KEADILAN penuh dengan kepincangan dalaman.

“Sudah tentunya seperti disebut, ia mengecewakan banyak pihak. Pihak lawan membuat andaian yang berbeza, tetapi ini dia denyut nadi sebenar dalam KEADILAN.
“Kadang-kadang pening saya. Saya bisik Rafizi tadi awal-awal, aku ini lama sudah (kenal) dengan kamu ini. Janganlah tambah pening aku. Rupanya dia datang bagi ucapan, dia bagi panadol, hilang pening saya,” selorohnya.
Hubungan Anwar dan Rafizi sebelum ini dikatakan ‘dingin’ selepas bekas Ahli Parlimen Pandan itu mengeluarkan kenyataan mengkritiknya, malah menyifatkan populariti ketua pembangkang itu sudah merosot.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan ahli dan penyokongnya waspada dengan kritikan yang keterlaluan sehingga mengheret parti ke kancah perpecahan, sebaliknya fokus kepada usaha memperkuat parti.

“Sebab itu bila orang yang kuat kerja dan cerdik ini, bila bagi pandangan dan singgungan memeningkan sikit. Tetapi saya sebut, Rafizi.. saya tidak berkecil hati. Masalahnya, kadang-kadang penyokong bebal ini, sebab mereka tidak faham.
“Kita dalam perjuangan ini semangat ukhuwah, persaudaraan itu tebal. Betul kadang-kadang ada perbezaan pendapat yang agak sengit tapi ini bukan khianat (kepada parti),” katanya.
Menerangkan lebih lanjut, beliau berkata, ada perbezaan di antara pemimpin yang khianat serta mengkritik untuk memperbaiki kelemahan yang wujud dalam parti.
“Ada beza, orang yang berpendapat dan berpendirian agak keras dalam beberapa isu, agak menyanggah pendapat kita, tapi bukan khianat. Bukan kaki fitnah, bukan perompak dan perasuah.
“Yang kita diajak perang ini orang rasuah dan khianat, tumpu ke arah itu. Saya beri jaminan akan tetap pertahankan barisan pimpinan yang sanggup bekerja dalam satu jemaah dan pasukan,” katanya.
