Andre Lai Sambut Baik Saranan Dr Wan Azizah Agar Peranan Perpustakaan Diperluas

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyantuni para pengunjung selepas merasmikan Pustaka KL Digital MADANI @ Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Turut kelihatan Datuk Azman Abidin (dua dari kiri) dan Andre Lai (empat dari kiri). Foto Facebook MRCB

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Andre Lai menyambut baik saranan Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu peranan perpustakaan pada masa ini perlu diperluas agar sejajar dengan kerangka Malaysia MADANI.

Andre senada dengan pandangan Dr Wan Azizah yang mahu peranannya diperluas bagi memacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah serta kearifan tempatan.

”Saya berpandangan saranan Datuk Seri Dr Wan Azizah patut dijadikan panduan semua pihak memperkasa peranan perpustakaan dalam melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan selaras gagasan Malaysia MADANI bagi mendorong mereka supaya lebih berpengetahuan selain memupuk minat membaca di kalangan generasi muda kini.

”Saya amat mengharapkan amanat Dr Wan Azizah pada perasmian perpustakaan hari ini mampu membuka minat membaca dan meneroka pelbagai ilmu pengetahuan di kalangan rakyat sama ada bahan bacaan berbentuk fizikal atau digital sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan,” ujarnya.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyantuni para pengunjung selepas merasmikan Pustaka KL Digital MADANI @ Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Turut kelihatan Datuk Azman Abidin (dua dari kiri) dan Andre Lai (empat dari kiri). Foto Facebook MRCB

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan perasmian Dr Wan Azizah selepas merasmikan Pustaka KL Digital MADANI @ Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan pemimpin masyarakat setempat.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu seiring dengan perkembangan teknologi, yang menyaksikan masyarakat kini mempunyai pilihan untuk membaca buku secara konvensional atau pun menggunakan peranti masing-masing.

Oleh itu, bagi menghadapi cabaran pada masa depan, beliau berkata perpustakaan perlu mempromosikan kemampanan, kesedaran dan celik masa hadapan, untuk mempersiapkan generasi muda.

“Persekitaran dan infrastruktur yang mampu merangsang kreativiti juga perlu disediakan di perpustakaan.

“Ia akan dapat menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses lebih maju, yang pada akhirnya akan dapat merubah kecenderungan bangsa atau masyarakat, daripada semata-mata sebagai pengguna akan berubah menjadi penyumbang aktif terhadap ekonomi negara,” kata beliau.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama para pelajar selepas merasmikan Pustaka KL Digital MADANI @ Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto Bernama

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata Pustaka KL Digital MADANI @ Bandar Sri Permaisuri itu, merupakan projek tanggungjawab sosial korporat yang ketiga oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kepada DBKL.

Sebelum ini, MRCB membina sebuah perpustakaan di Lembah Pantai, Pantai Dalam pada 2015, diikuti di Medan Idaman, Gombak pada 2017, yang masing-masing berkonsepkan konvesional manakala Pustaka KL Digital MADANI @ Bandar Sri Permaisuri, berkonsepkan perpustakaan digital.

“Pustaka KL Digital MADANI ini, saya percaya menyediakan kemudahan untuk khalayak, terutamanya penduduk di Bandar Sri Permaisuri untuk mengakses bahan bacaan dan melakukan berbagai aktiviti secara dalam talian, selain aktiviti fizikal seperti bengkel, ceramah dan kelas celik komputer.

“Saya juga melihat ini sebagai satu potensi besar untuk syarikat korporat, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan, bekerjasama dengan pihak perpustakaan mengadakan program kemasyarakatan yang secara tidak langsung membantu usaha kerajaan melahirkan masyarakat MADANI,” kata Dr Wan Azizah.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata sejak dibuka pada 17 Oktober lepas, lebih 1,000 orang telah mengunjungi perpustakaan baharu itu dengan 260 daripadanya menjadi ahli perpustakaan.

Beliau berkata di samping menyediakan pembelajaran secara interaktif dan buku-buku, majalah serta akhbar dalam bentuk elektronik, Pustaka KL Digital MADANI @ Bandar Sri Permaisuri juga menawarkan perkhidmatan dalam talian seperti Buffet@PKL, KLeLIB dan koleksi gambar digital PKL.

Perpustakaan itu juga, memperkenalkan aplikasi untuk memudahkan pelajar mengukuhkan pengetahuan mereka melalui MyGuru, yang menyediakan nota pembelajaran mengikut sukatan pelajaran terkini dan bank soalan peperiksaan, yang boleh diselesaikan sendiri oleh pelajar.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *