Amerika Naikkan Lagi Kadar Faedah, Paling Tinggi Sejak 2018

WASHINGTON, 28 Jul – Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (US Federal Reserve) menaikkan penanda aras kadar faedahnya sebanyak tiga perempat mata peratusan atau 0.75 peratus.
Langkah itu adalah antara usaha untuk mengurangkan tekanan inflasi paling teruk sejak 1980-an, dengan ‘peningkatan berterusan’ dalam kos pinjaman meskipun terdapat bukti ekonomi perlahan.
“Inflasi kekal tinggi, mencerminkan ketidakseimbangan bekalan dan permintaan yang berkaitan dengan pandemik, harga makanan dan tenaga yang lebih tinggi dan tekanan harga yang lebih luas,” kata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang menaikkan kadar dasar kepada julat antara 2.25 peratus dan 2.5 peratus dalam undian sebulat suara.
FOMC menambah bahawa ia kekal ‘sangat prihatin’ terhadap risiko inflasi.

Bagaimanapun, peningkatan pekerjaan kekal ‘utuh’, kata pegawai dalam satu kenyataan, yang turut menyatakan bahawa ‘petunjuk perbelanjaan dan pengeluaran baru-baru ini telah perlahan’, satu petanda kepada fakta bahawa kenaikan kadar agresif yang telah mereka lakukan sejak Mac mula bertindak.
Kenaikan itu dibuat selepas kenaikan 75 mata asas pada bulan lalu, Fed AS telah menaikkan kadar dasarnya sebanyak 225 mata asas tahun ini bagi mengekang inflasi yang melepasi paras 1980-an dengan gaya dasar monetari 1980an.
Kadar dasar kini berada pada paras yang mana kebanyakan pegawai Fed merasakan mempunyai kesan ekonomi neutral, yang menandakan berakhirnya usaha era pandemik untuk menggalakkan perbelanjaan isi rumah dan perniagaan dengan pinjaman rendah.
Kadar itu juga sepadan dengan titik tinggi kitaran pengetatan bank pusat sebelum ini dari akhir 2015 hingga akhir 2018, tahap yang dicapai kali ini dalam tempoh hanya empat bulan.
Kenyataan dasar terkini memberikan sedikit panduan yang jelas mengenai langkah yang mungkin diambil oleh Fed seterusnya, keputusan yang akan sangat bergantung kepada sama ada data akan datang menunjukkan inflasi mula perlahan.
Dengan data terkini yang menunjukkan harga pengguna meningkat pada kadar tahunan lebih sembilan peratus, pelabur menjangkakan bank pusat AS akan menaikkan kadar dasar sekurang-kurangnya setengah mata peratusan pada mesyuarat September ini.
– Reuters
