Amerika Jangan Campur Tangan Isu Taiwan, China Beri Amaran

Presiden China, Xi Jinping memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa isu Taiwan mampu cetus konflik yang merosakkan pada 14 Mei 2026.
BEIJING, 14 Mei – China, memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS), bahawa isu Taiwan berpotensi mencetuskan ‘konflik’ antara kedua negara sekiranya tidak ditangani secara berhati-hati.
Amaran tersebut dibuat Presiden Xi Jinping sejurus pertemuan dengan Donald Trump yang tiba di China di sebalik pujian terhadap Jinping, menyifatkan pemimpin itu sebagai ‘pemimpin hebat’ dan ‘rakan’, selain meramalkan kedua negara akan mempunyai ‘masa depan yang hebat bersama’.
Namun di sebalik sambutan penuh istiadat kepada Trump, Jinping menegaskan kedua pihak ‘sepatutnya menjadi rakan dan bukannya pesaing’, sambil terus membangkitkan isu Taiwan yang diperintah sendiri secara demokratik tetapi dituntut Beijing sebagai wilayahnya.

“Isu Taiwan adalah perkara paling penting dalam hubungan China-AS,” kata Jinping menurut penyiar rasmi, CCTV.
“Jika tidak ditangani dengan betul, kedua negara boleh bertembung atau malah berkonflik, sekali gus meletakkan keseluruhan hubungan China-AS dalam keadaan amat berbahaya,” katanya.
AS hanya mengiktiraf Beijing secara rasmi, namun di bawah undang-undang domestiknya, Washington dikehendaki membekalkan senjata kepada Taiwan bagi membolehkan pulau itu mempertahankan diri.

China berikrar untuk mengambil alih Taiwan dan tidak menolak penggunaan kekerasan, selain meningkatkan tekanan ketenteraan di sekitar pulau itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Trump pada Isnin berkata beliau akan berbincang dengan Jinping mengenai penjualan senjata AS kepada Taiwan, sesuatu yang menyimpang daripada pendirian tradisional Washington yang tidak merujuk Beijing berhubung sokongannya kepada pulau berkenaan.
Ini merupakan lawatan pertama Trump ke Beijing dalam tempoh hampir satu dekad, selepas kali terakhir Trump melawat negara itu pada 2017 pada penggal pertamanya sebagai presiden.
Setiausaha Negara, Marco Rubio turut mengiringi Trump bersama puluhan ketua gergasi syarikat terkemuka seperti Apple, Tesla, Nvidia dan General Electric (GE).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
