Aidilfitri 2026: PGA, Polis Marin Pergiat Rondaan Di Sepanjang Sungai Golok

PGA dan Polis Marin diarah mempertingkat operasi di pangkalan haram bagi mengekang pergerakan rentas sempadan secara haram. Foto Sharifah Mahsinah Abdullah

KOTA BHARU, 21 Mac – Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Marin diarahkan untuk mempergiat rondaan di pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi menghalang pergerakan rentas sempadan menggunakan laluan tidak sah sepanjang tempoh perayaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, arahan itu dikeluarkan beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri berikutan jangkaan peningkatan cubaan untuk melintasi sempadan secara haram.

“Saya menjangkakan akan ada individu, sama ada rakyat Malaysia atau Thailand, yang cuba mengambil kesempatan sempena musim perayaan untuk melintasi melalui laluan haram.

Anggota PGA memantau di kawasan papan tanda larangan rentas di sepanjang sempadan sungai golok yang dikesan sering menjadi laluan penyeludup dan orang ramai keluar masuk di Pengkalan Haram pada 26 Oktober 2025. Foto Nik Abdullah Nik Omar

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan GOF dan polis marin untuk meningkatkan pemantauan.

“Tumpuan akan diberikan kepada kawasan panas yang sering digunakan oleh penduduk tempatan dan warga asing,” katanya kepada media, hari ini.

Mohd Yusoff berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menggunakan laluan sah seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Kelantan mempunyai tiga kompleks ICQS iaitu di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) Rantau Panjang, Bakri Sulaiman sebelum ini berkata kira-kira 50,000 pelancong dijangka melalui Kompleks ICQS Rantau Panjang sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi pelancong yang keluar dan masuk negara dalam tempoh tiga hari sebelum dan selepas perayaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *