Aidilfitri 2026: Penduduk Cemas Jambatan Roboh Jatuh Ke Dalam Laut

Keadaan jambatan Kampung Selamat yang roboh menyebabkan penduduk terjatuh ke dalam laut, pada 21 Mac 2026. Foto Facebook

KOTA KINABALU, 22 Mac – Kegembiraan penduduk Kampung Selamat, Lok Kurai, Pulau Gaya di Sabah meraikan Hari Raya Aidilfitri bertukar cemas apabila sebuah jambatan dilaporkan roboh, pagi semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong, kejadian tersebut menyebabkan beberapa penduduk terjatuh ke dalam laut.

“Ketika rakan-rakan kita sedang bergembira meraikan Aidilfitri setelah sebulan berpuasa, sebuah jambatan di Kampung Selamat, Lok Kurai, Pulau Gaya dilaporkan roboh.

“Amat memilukan apabila kejadian ini menimpa mereka yang sedang berbaju baharu dan bersiap menyambut Aidilfitri, namun terpaksa berdepan dengan dugaan yang tidak dijangka,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kerajaan memberi perhatian serius terhadap aspek penyelenggaraan dan pemantauan fasiliti awam seperti jambatan usang dan berisiko.

Tambahnya, keadaan tersebut bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk malah boleh mengakibatkan kecederaan jika tidak ditangani segera.

Beliau turut berharap tindakan pantas dapat diambil bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *