Aidilfitri 2026: Inisiatif, Ikhtiar PM Anwar Wajar Disokong Rakyat

Pengunjung Bazar Ramadan di University Apartment, Sepanggar bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninjau sambutan orang ramai dan harga jualan dalam usaha beliau mengekalkan subsidi sedia ada pada 15 Mac 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 16 Mac – Pelbagai insiatif dan ikhtiar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 sejak minggu lalu, diharap mampu membantu rakyat menyambut lebaran dengan lebih bermakna walaupun kerajaan berdepan tekanan ekonomi global ekoran konflik di Asia Barat.
Langkah-langkah yang diperkenalkan menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, terutama dengan faktor luar yang tidak boleh dikawal iaitu serangan AS-Israel ke atas Iran yang menaikkan harga minyak melepasi AS$110 setong.

Fokus utama kerajaan ialah mengekalkan beberapa bentuk bantuan dan sokongan kepada rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengabaikan kedudukan fiskal kerajaan yang dibina kukuh sejak tiga tahun lepas.
Langkah seperti mengekalkan harga petrol bersubsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI serta meneruskan pelbagai bantuan bersasar menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang diawalkan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Biarpun tekanan inflasi semakin kuat, namun kerajaan turut mengambil langkah memastikan harga barangan asas kekal terkawal melalui pemantauan rapi serta kerjasama dengan pihak industri berkaitan bagi menangani kesan kenaikan kos pembuatan dan penghantaran.
Usaha ini penting kerana permintaan terhadap barangan keperluan biasanya meningkat menjelang musim perayaan, sekali gus berpotensi memberi tekanan kepada kos sara hidup, namun dikawal dengan pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026.

Kerajaan tidak menafikan cabaran ekonomi luar yang memberi kesan kepada negara, khususnya ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik berterusan di Asia Barat, termasuk sektor tenaga yang menerima kesan langsung tetapi tetap dikawal dengan subsidi tarif elektrik sehingga April depan.
Situasi tersebut memberi kesan kepada harga komoditi dunia, rantaian bekalan serta kestabilan pasaran tenaga, namun begitu, pendekatan kerajaan yang seimbang antara disiplin fiskal dan kebajikan rakyat menunjukkan komitmen untuk mengurus ekonomi negara secara bertanggungjawab.
Walaupun terdapat langkah penjimatan dalam beberapa aspek perbelanjaan kerajaan, bantuan yang memberi kesan langsung kepada rakyat tetap diteruskan.
Sudah pastilah, kita mengharapkan inisiatif yang diumumkan menjelang Aidilfitri ini dapat dinikmati semua rakyat sebagai cerminan kesungguhan dan usaha kerajaan untuk memastikan rakyat masih dapat meraikan perayaan dengan penuh kesyukuran.
Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, sokongan berterusan kerajaan diharap dapat membantu rakyat menyambut lebaran dengan lebih tenang dan bermakna.
Cuma, di saat kita bergembira menyambut lebaran, jangan abaikan aspek penjimatan dan bersyukur negara kita masih aman damai dan Aidilfitri dapat diraikan dengan sederhana dan bahagia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



