Aidilfitri 2026: 370 Anak Yatim, Asnaf Ceria Terima Baju Raya Baharu Daripada Zuraidi

Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, program ini dianjurkan kerana beliau mahu anak-anak asnaf dan anak yatim dapat merasai kasih sayang dan kegembiraan menyambut Aidilfitri.

ALOR SETAR, 17 Mac – Situasi lebaran yang menjelma tidak lama lagi pantas berubah buat kira-kira 370 anak-anak yatim dan asnaf sekitar Kedah yang disantuni dalam program sumbangan Aidilfitri 2026 sementelah sudah tiga tahun mereka tidak berkemampuan memakai baju raya baharu pada 1 Syawal.

“Sudah tiga tahun saya pakai baju raya sama, alhamdulillah tahun ini saya bersyukur dapat baju Melayu baharu warna emerald green.”

Demikian kata Muhammad Hafiz Abdul Wahab, 17, ketika ditemui selepas menerima sumbangan baju raya dari Pengerusi Kelab Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim di sebuah pusat kelengkapan raya di sini semalam.

Muhammad Hafiz Abdul Wahab, 17 bersyukur bakal memakai baju raya baharu selepas tiga tahun tidak merasa hasil sumbangan Pengerusi Kelab Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim pada 16 Mac 2026.

Menurutnya, dia tidak mengharapkan baju baharu kerana menyedari kemampuan bapanya yang menyara keluarga dengan menoreh getah.

“Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang pakai baju raya baharu. Memang seronok kerana saya juga dapat pilih sendiri baju Melayu di sini.

“Cuma ayah dan abang saya masih tak ada baju raya baharu. Kebiasaannya ayah dan abang akan pakai baju tahun lepas saja, kalau ada orang bagi baju, kami akan ambil,” katanya dari Kampung Charuk Pisang, Sik dekat sini.

Daima Zahara Zakaria, 14, dari Felda Lubuk Merbau berkata, dia tidak pernah membeli baju raya di pusat kelengkapan raya yang besar seperti itu.

Muhammad Hafiz yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Merbau itu berkata, bapanya bekerja sebagai penoreh getah untuk menyara keluarga, manakala ibunya meninggal dunia ketika dia berusia empat tahun.

“Abang saya yang kini berusia 21 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran. Selepas pulang dari sekolah, saya biasanya akan bantu ayah buat kerja rumah dan kadang-kadang tolong sediakan juadah berbuka,” katanya.

Rata-rata mereka yang menerima sumbangan berkenaan berazam akan menumpukan sepenuh usaha dalam pelajaran dan bersemangat apabila Zuraidi sendiri membawa mereka membeli-belah menjelang lebaran beberapa hari lagi.

Zuraidi (tengah) bersama sebahagian anak yatim dan asnaf yang menerima sumbangan pakaian raya di sebuah pusat kelengkapan raya di Alor Setar, pada 16 Mac 2026. Foto Shahir Noordin

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Daima Zahara Zakaria, 14, dari Felda Lubuk Merbau berkata, dia tidak pernah membeli baju raya di pusat kelengkapan raya yang besar seperti itu.

“Biasanya saya beli di kedai-kedai biasa sahaja. Hari ini seronok kerana saya dapat pilih baju raya sendiri, harga baju ini RM99 yang mana ini baju yang paling mahal pernah saya pakai,” katanya.

Sementara itu, Zuraidi berkata, seramai 56 anak yatim dan asnaf dari beberapa sekolah di Padang Terap dibawa membeli pakaian raya pada program itu.

“Kita anjurkan program ini kerana mahu anak-anak asnaf dan anak yatim dapat merasai kasih sayang dan kegembiraan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, kesemua anak asnaf dari beberapa kawasan termasuk Sungai Petani, Merbok dan Padang Terap menerima sumbangan pakaian raya tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM50,000.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *