Adakah Malaysia Bersedia Dengan Kenaikan Harga Beras Yang Dijangkakan? – Dr Tan Yee Kew

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew mempersoalkan adakah Malaysia sudah bersedia dengan kenaikan harga beras di pasaran tempatan yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, beliau gusar dengan maklumat daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan indeks eksport beras telah meningkat untuk bulan kelima berturut-turut sehingga Mei 2022 akibat daripada kekurangan petroleum, baja, gandum dan makanan yang disebabkan perang berlanjutan antara Ukraine-Rusia.

Perang berterusan ini katanya, jelas akan meningkatkan harga beras di pasaran dunia menurut All-Rice Index yang dikeluarkan baru-baru ini.


“Menurut All-Rice Index dari FAO, harga eksport beras telah meningkat berturut-turut untuk bulan kelima pada Mei 2022, akibat daripada kekurangan petroleum, baja, gandum dan makanan yang disebabkan perang Ukraine-Rusia. Apabila perang berlarutan harga dijangka meningkat,” katanya.

Ini sekaligus katanya menyebabkan negara-negara yang bergantung kepada import beras bagi menambah pengeluaran tempatan mereka, hampir pasti akan menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

“Negara-negara yang bergantung kepada import beras bagi menambah pengeluaran tempatan mereka hampir pasti akan menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga,” tambah Dr Tan.

Selain itu, beliau turut bimbang dengan pendedahan Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang menyatakan simpanan beras negara ini hanya kira-kira 200,000 tan metrik.


Ini bermakna stok beras hanya cukup untuk memenuhi keperluan negara selama sebulan berbanding Singapura yang mampu menyimpan bekalan beras bagi kegunaan domestik selama tiga bulan.

“Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, simpanan beras negara ini adalah kira-kira 200,000 mt. Dalam erti kata lain, stok beras hanya cukup memenuhi keperluan negara selama sebulan.

“Berbanding dengan Singapura yang mempunyai simpanan selama 3 bulan, simpanan beras Malaysia adalah terlalu rendah,” ujar beliau lagi.

Beliau turut meminta supaya monopoli BERNAS sebagai pengimport dan badan pengawal hasil beras di negara ini ditamatkan kerana syarikat berkenaan hanya berorientasikan keuntungan dan BERNAS tidak ada kepentingan untuk menambah stok kerana wang tunai akan dikunci dalam stok


“Tetapi pengumpulan stok beras di Malaysia bergantung semata-mata kepada BERNAS yang mempunyai monopoli import beras dan mengawal hampir 50% daripada semua hasil beras di negara ini.

“Ini kerana syarikat berkenaan hanya berorientasikan keuntungan dan BERNAS tidak ada kepentingan untuk menambah stok kerana wang tunai akan dikunci dalam stok.

“BERNAS ialah Syarikat Tersenarai Awam yang berorientasikan keuntungan dan syarikat tidak ada kepentingan untuk menambah stok kerana wang tunai akan dikunci dalam stok. Memandangkan keadaan yang kritikal, kerajaan mesti bertindak menguatkuasakan peratusan minimum stok simpanan, yang tidak boleh kurang daripada 20%, daripada keperluan negara atau bekalan 2 bulan

“Kerajaan mesti menangguhkan monopoli BERNAS dalam pengimportan beras untuk tempoh kritikal ini jika tidak dapat menamatkan konsesi yang diberikan kepada BERNAS dengan serta-merta,” tambahnya.

Ikuti kenyataan media penuh beliau di bawah:

– – – – – – – –

UNTUK SIARAN SEGERA

4 JULAI 2022
KENYATAAN MEDIA


Adakah Malaysia Bersedia Dengan Kenaikan Harga Beras Yang Dijangkakan?

Menurut All-Rice Index dari FAO, harga eksport beras telah meningkat berturut-turut untuk bulan kelima pada Mei 2022, akibat daripada kekurangan petroleum, baja, gandum dan makanan yang disebabkan perang Ukraine-Rusia. Apabila perang berlarutan harga dijangka meningkat. Negara-negara yang bergantung kepada import beras bagi menambah pengeluaran tempatan mereka hampir pasti akan menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

Adakah kita bersedia menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga?

Tingkatkan Simpanan Stok kepada 20% daripada Keperluan Negara

Keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia ialah 2.5 juta tan metrik. Pengeluaran beras negara adalah sekitar 70% manakala baki 30% bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan. Apabila perang berlarutan, kita bukan sahaja perlu menghadapi kenaikan harga beras tetapi juga kekurangan bekalan di pasaran.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, simpanan beras negara ini adalah kira-kira 200,000 mt. Dalam erti kata lain, stok beras hanya cukup memenuhi keperluan negara selama sebulan. Berbanding dengan Singapura yang mempunyai simpanan selama 3 bulan, simpanan beras Malaysia adalah terlalu rendah.

Tetapi pengumpulan stok beras di Malaysia bergantung semata-mata kepada BERNAS yang mempunyai monopoli import beras dan mengawal hampir 50% daripada semua hasil beras di negara ini. BERNAS ialah Syarikat Tersenarai Awam yang berorientasikan keuntungan dan syarikat tidak ada kepentingan untuk menambah stok kerana wang tunai akan dikunci dalam stok. Memandangkan keadaan yang kritikal, kerajaan mesti bertindak menguatkuasakan peratusan minimum stok simpanan, yang tidak boleh kurang daripada 20%, daripada keperluan negara atau bekalan 2 bulan.


Tamatkan Monopoli Import Beras

Satu lagi langkah penting bagi mengurangkan tekanan bekalan dan harga beras adalah dengan meningkatkan sumber bekalan. Kerajaan mesti menangguhkan monopoli BERNAS dalam pengimportan beras untuk tempoh kritikal ini jika tidak dapat menamatkan konsesi yang diberikan kepada BERNAS dengan serta-merta.

Peniaga beras harus dibenarkan mengimport beras dan mendapatkan bekalan mereka sendiri dari negara-negara berbeza secara bebas. Dengan persaingan dan lebih banyak sumber bekalan, kuantum kenaikan harga beras import tidak lagi ditentukan oleh BERNAS sahaja dan pengguna akan kurang terjejas dengan kenaikan harga di pasaran dunia.

Meliberalisasikan import beras juga akan membantu meningkatkan stok simpanan kita.
Skim Simpanan Beras Singapura memerlukan semua pengimport berlesen mengekalkan kuantiti setara dengan import dua bulan mereka di gudang kerajaan sebagai simpanan. Kita boleh melakukan perkara sama sebaik sahaja import beras diliberalisasikan.

Kerajaan Mesti Mendapatkan Semula Pemilikan BERNAS Bagi Merancakkan Pengeluaran Beras Tempatan

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-KEADILAN)

Untuk memastikan bekalan mencukupi dan harga beras yang stabil, strategi jangka panjang terletak pada meningkatkan pengeluaran tempatan. Kita kehilangan banyak tanah padi akibat banjir serta pembangunan perumahan dan perindustrian kerana aktiviti menanam padi tidak menguntungkan.

Apabila BERNAS dikorporatkan pada 1966, pemegang saham utama adalah agensi kerajaan yang berkaitan dengan penanaman padi. Ia bertujuan memastikan keseimbangan beras import dan hasil tempatan bagi melindungi kepentingan penanam padi. Keuntungannya adalah untuk membajak kembali bagi pembangunan penanaman padi dengan matlamat utama untuk mencapai sara diri dalam beras.

Kini, BERNAS adalah sebuah syarikat swasta sepenuhnya. Ironinya Bernas yang mengaut keuntungan besar dengan memonopoli import beras ditugaskan untuk membantu menggalakkan pengeluaran beras tempatan. Hakikatnya semakin rendah beras tempatan, semakin banyak Bernas boleh mengimport dan semakin besar keuntungan mereka. Oleh itu, kita tidak boleh mengharapkan Bernas dengan pemilikannya sekarang untuk membantu mempromosikan pengeluaran beras tempatan.

Hari ini harga bagi kedua-dua beras import dan tempatan hampir ditentukan oleh Bernas, sebuah syarikat swasta yang mementingkan keuntungan. Jika kerajaan bersungguh-sungguh dalam soal sara diri beras dan mengawal kenaikan harga beras, kerajaan mesti mendapatkan semula kawalan ke atas beras import, mengambilalih pengurusan subsidi kepada petani daripada Bernas dan perolehan beras daripada petani.

DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW
MEMBER OF PARLIAMENT FOR WANGSA MAJU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *