8 Pemimpin ‘Berebut’ Ganti Boris Johnson

LONDON, 13 Jul – Lapan pemimpin Parti Konservatif akan bersaing bagi menggantikan Boris Johnson sebagai Perdana Menteri dan ketua parti itu, selepas masing-masing menerima cukup pencalonan daripada ahli parti untuk mara ke pusingan pertama pengundian, hari ini.
Hanya dua calon yang gagal untuk mendapatkan 20 pencalonan yang diperlukan, memberi peluang kepada calon yang bertanding berkempen dengan mengemukakan janji pemotongan cukai dan pentadbiran kerajaan yang lebih serius dan telus.
Bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak menjadi calon kegemaran dan antara yang akan menjadi pesaing beliau ialah penggantinya, Nadhim Zahawi dan Menteri Luar, Liz Truss, dalam pertandingan yang akan menjadi semakin sukar dan meningkatkan perpecahan.
Bagi calon yang akan dipilih sebagai Perdana Menteri Britain pastinya berdepan cabaran yang besar selain sokongan rakyat untuk parti itu juga dilihat semakin menurun, demikian menurut tinjauan pendapat.

Ekonomi Britain berdepan inflasi yang melambung, hutang yang tinggi dan pertumbuhan yang rendah, ketika orang ramai bergelut dengan tekanan paling ketat terhadap kewangan mereka dalam tempoh beberapa dekad.
Ketika pertandingan semakin sengit, kempen pesaing bagi jawatan Perdana Menteri turut melakukan kritikan peribadi terhadap calon lain selain mempersoalkan aspek kewangan atau lain-lain terhadap saingan mereka.
Sunak memulakan kempen dengan menggambarkan dirinya sebagai calon yang serius, menjanjikan nilai kejujuran lebih matang, bukan cerita dongeng, cuba membezakan dirinya dengan janji pemotongan cukai yang meluas oleh kebanyakan calon lain.
“Adalah sesuatu yang tidak boleh dipercayai untuk menjanjikan lebih banyak perbelanjaan dan cukai yang lebih rendah,” kata Sunak, yang memaklumkan pemotongan cukai hanya boleh berlaku selepas inflasi yang melambung tinggi itu ditangani.
Sebagai Menteri Kewangan sebelum ini, Sunak meletakkan Britain di landasan untuk menanggung beban cukai terbesar sejak 1950-an selepas beliau mengawasi peningkatan besar dalam perbelanjaan kerajaan ketika wabak coronavirus dan kebanyakan calon lain menyalahkan beliau dengan mengatakan mereka akan melihat kepada pemotongan cukai dengan serta merta.
Sunak mendapat sokongan terbesar dalam kalangan anggota, yang menyatakan pandangan mereka secara terbuka.
Jawatankuasa Ahli Parlimen Jawatankuasa Konservatif 1922 yang menganjurkan pertandingan itu, berkata jumlah calon akan berkurangan selepas undian berulang berlangsung dalam beberapa minggu akan datang, dengan dua calon terakhir dipilih oleh kurang 200,000 anggota parti menjelang 21 Julai ini.
Perdana Menteri baharu Britain akan diumumkan pada 5 September ini.
– REUTERS
