52 Peratus Keluar Mengundi Pilih Presiden Singapura Setakat 12 Tengah Hari

Seawal jam 8 pagi rakyat Singapura contohnya di Serangoon beratur untuk mengundi presiden baharu menggantikan Halimah Yacob yang akan melepaskan jawatannya pada 13 September ini. Foto The Straits Times
SINGAPURA, 1 Sep – Seramai 52 peratus daripada lebih 2.7 juta rakyat Singapura hari ini telah keluar mengundi yang akan memutuskan siapa antara tiga calon yang akan menjadi presiden kesembilan republik di selatan Semenanjung Malaysia itu.
Menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD), sehingga jam 12 tengah hari tadi seramai 1,406,182 pengundi telah melaksanakan undian mereka di 1,264 pusat pengundian yang dibuka di seluruh republik itu sejak jam 8 pagi tadi.
Republik itu kini memilih tiga calon presiden baharu itu terdiri bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.
Presiden ialah Ketua Negara dan memegang jawatan selama enam tahun.

Presiden mempunyai dua peranan penting – sebagai simbol dan penyatu Singapura yang berbilang kaum serta sebagai penjaga rizab lampau Singapura dan integriti perkhidmatan awam namun kuasa eksekutif negara dipegang Perdana Menteri yang dipilih melalui pilihan raya umum (PRU) setiap lima tahun sekali.
Perdana Menteri sekarang ialah Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Hsien Loong.
Pilihan raya Presiden Singapura yang pertama diadakan pada 28 Ogos 1993.
Presiden Halimah Yacob yang bakal menamatkan tugasnya telah berkhidmat sebagai presiden kelapan Singapura sejak 2017.
Pada Mei lepas, Halimah yang juga presiden wanita pertama dalam sejarah Singapura mengumumkan beliau tidak bertanding semula.
Penggal perkhidmatannya tamat pada 13 September ini.
Pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi hari Jumaat dan ditutup pada 8 malam dan kesemua 1,264 pusat mengundi dibuka di seluruh negara dengan kira-kira 36, 000 pegawai pilihan raya ditugaskan di seluruh republik itu.
