45,000 Pegawai Polis Dikerah Kekang Tunjuk Perasaan Di Perancis

Ratusan penunjuk perasaan ditangkap Polis Perancis setakat ini ekoran tunjuk perasaan dan protes akibat kematian Nahel M yang ditembak beberapa hari lalu. Foto The Guardian
PARIS, 1 Jul – Seramai 45,000 pegawai keselamatan disokong kenderaan perisai ringan dikerah untuk menangani protes ganas yang sudah memasuki empat malam berturut-turut selepas kejadian polis menembak mati seorang remaja oleh pentadbiran Presiden Perancis Emmanuel Macron.
Polis dan pasukan keselamatan lain dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan dikerahkan ke seluruh negara untuk menangani keganasan akibat kejadian tembakan terhadap remaja itu, yang berlaku pada Selasa semasa pemeriksaan polis trafik.
Di sebalik kehadiran pasukan keselamatan, rompakan berlaku pada malam Jumaat di bandar Lyon, Marseille dan Grenoble, dengan kumpulan perusuh kebanyakannya bertopeng turut merompak kedai selain membakar kereta dan tong sampah.
Rompakan turut berlaku ketika siang pada Jumaat di bandar timur Strasbourg, di mana perusuh menyasarkan kedai Apple dan kedai lain.
Polis menggunakan gas pemedih mata di bandar selatan Marseille selepas pemuda membaling objek ke arah kenderaan polis di daerah Vieux-Port yang popular dalam kalangan pelancong.
Datuk Bandar Marseille Benoit Payan yang memberi semangat kepada pasukan keselamatan berkata, situasi rusuhan termasuk rompakan dan keganasan yang terjadi itu tidak boleh diterima.

Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin berkata, seramai 80 orang ditangkap di Marseille iaitu antara 270 tangkapan di seluruh negara pada Jumaat.
Macron, selepas bergegas pulang dari sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) untuk mempengerusikan mesyuarat krisis, menyatakan kecamannya dan menyifatkan sebagai ‘eksploitasi yang tidak boleh diterima terhadap kematian seorang remaja’ oleh sesetengah pihak.
Rusuhan dicetuskan susulan polis menembak mati seorang remaja berusia 17 tahun dikenal pasti sebagai Nahel M.
Insiden tragis itu menghidupkan semula rungutan lama mengenai kepolisan dan profil kaum di pinggir bandar berpendapatan rendah dan berbilang etnik di Perancis.
Nahel akan dikebumikan dalam satu upacara pada Sabtu, menurut datuk bandar Nanterre lokasi di pinggir bandar Paris tempat remaja itu tinggal dan dibunuh.
Peguam keluarga meminta wartawan untuk menjauhkan diri, mengatakan ia adalah hari memilukan untuk saudara-mara Nahel.
Perdana Menteri Elisabeth Borne juga mengumumkan pembatalan acara berskala besar seperti konsert di seluruh negara.
Bas dan trem, yang disasarkan dalam beberapa keganasan, berhenti beroperasi pada 9 malam selain penjualan bunga api dan cecair mudah terbakar diharamkan.
